Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

SURAT | Dalam Belanjawan 2023, Menteri Kewangan Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan duti eksais bagi produk cecair atau gel yang mengandungi nikotin untuk rokok elektronik dan vape.

Ini bermaksud kerajaan akan mengawal selia rokok elektronik dan vape bagi memastikan penjualan tersebut sah mengikut sisi undang-undang.

Perbincangan untuk kawal selia rokok elektronik dan vape di Malaysia sudah menjangkau hampir 10 tahun sejak produk itu mula mendapat sambutan dalam kalangan pengguna sekitar 2014.

Menurut laporan awal Dewan Perniagaan Vape Malaysia (DPVM) pasaran vape meningkat sebanyak 9.6 peratus pada 2022, iaitu daripada RM2.49 bilion berbanding RM2.27 bilion pada 2019.

Berdasarkan laporan itu DPVM menganggarkan jumlah bilangan pengguna produk tersebut meningkat daripada 1.4 juta kepada 1.5 juta orang.

Perkembangan pasaran itu amat memerlukan undang-undang yang komprehensif bagi memastikan keselamatan pengguna terjamin, dan industri dikawal selia dengan baik.

Keputusan mengawal selia rokok elektronik dan vape boleh dianggap suatu yang positif. Hal itu kerana ia selari dengan prinsip kebebasan gaya hidup pengguna bagi mendapatkan akses produk alternatif secara sah dan lebih baik, terutamanya bagi perokok yang ingin berhenti dan beralih ke arah produk yang kurang mudarat.

Dalam kajian Public Health England, produk vape 95 peratus jauh lebih kurang mudaratnya terhadap kesan kesihatan berbanding rokok konvensional.

Baru-baru ini, Pejabat Perangkaan Negara United Kingdom melaporkan bilangan perokok yang berumur 18 tahun dan ke atas menurun daripada 14.0 peratus pada tahun 2020 kepada 13.3 peratus pada 2021, dan sejak pertama kali direkodkan pada 2011 sebanyak 20.2 peratus

Berdasarkan analisis bahagian penjagaan sosial dan kesihatan, pengurangan bilangan perokok mungkin sebahagiannya disebabkan lebih ramai orang beralih kepada rokok elektronik.

Undang-undang mengawal selia akan memastikan keselamatan pengguna terjamin daripada produk yang tidak sesuai untuk diambil oleh manusia terutamanya dari pasaran gelap atau perdagangan haram.

Selain itu, kawalan selia juga boleh mencegah pengguna vape bawah umur daripada berleluasa.

Kerajaan boleh memperkenalkan peraturan pintar dan menguatkuasakan sekatan umur yang ketat ke atas peranti vape serta cecair di tempat jualan selain menggunakan teknologi moden bagi mengesah umur pengguna dalam talian.

Walaupun kerajaan bersedia memperkenalkan undang-undang mengawal selia rokok elektronik dan vape tetapi akan disekalikan dengan Generasi Penamat melalui Rang Undang-undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok.

RUU itu bertujuan mengharamkan penjualan rokok, tembakau dan produk vape kepada mereka yang lahir dari 2007 walaupun selepas mencecah usia 18 tahun.

Ini pertama kali undang-undang yang diwujudkan memberi hanya satu kelebihan kepada satu generasi dan melucutkan daripada generasi yang lain.

Sewajarnya undang-undang beroperasi sama ke atas semua orang dalam keadaan yang saksama bagi semua generasi dan setiap kelompok masyarakat.

Wacana hak asasi atau kebebasan individu dalam perkara ini juga mesti mengambil kira pelbagai pendapat, bukan hanya satu aliran.

Menurut bekas Ketua Hakim Negara Zaki Azmi generasi penamat boleh dikatakan mendiskriminasi dan melanggar Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, pihak kerajaan wajar mengiktiraf kaedah pengurangan kemudaratan dan dasar berdasarkan sains serta fakta. Kita tidak mahu inisiatif mengurangkan perokok akhirnya menjadi usaha yang sia-sia akibat daripada tindakan yang tergesa-gesa.

Sebagai contoh di Bhutan, pengharaman rokok pada 2004 menyebabkan pasaran gelap berkembang dengan pesat hingga ia lebih mudah didapati oleh orang muda dengan harga yang murah.

Di Thailand pula laporan jawatankuasa kecil Kajian Kesan Terhadap Kesihatan dan Pemantauan Penguatkuasaan Undang-undang Berkaitan Kesihatan Awam di bawah Jawatankuasa Kesihatan Awam mengatakan larangan rokok elektronik adalah tidak berkesan.

Menurut Dr Ekkapob Piapises pengharaman itu menyebabkan tafsiran undang-undang yang tidak sejajar bagi pihak penguatkuasa, layanan tidak adil terhadap pengguna rokok elektronik dan rasuah di samping tidak dapat mengurangkan kadar merokok atau mencegah penjualan produk kepada kanak-kanak dan golongan muda.

Pihak kerajaan wajar menilai semula dasar generasi penamat agar tidak dilaksanakan secara terburu-buru.

Mengiktiraf kaedah pengurangan mudarat adalah strategi yang perlu diambil kira dalam memastikan usaha mengurangkan bilangan perokok di negara ini dilaksanakan secara efektif.

Pengenalan duti eksais juga perlu dalam kadar yang munasabah kerana jika terlalu tinggi ia akan menyebabkan peningkatan harga barangan secara mendadak.

Menurut Pengarah World Vapers’ Alliance, Michael Lanld, dakwaan cukai yang lebih tinggi akan meningkatkan kesihatan awam menunjukkan keputusan sebaliknya.

Hal itu menyebabkan akses kepada produk kurang mudarat dinafikan dan menyebabkan orang kembali kepada rokok dan vape pasaran gelap.


TARMIZI ANUWAR ialah anggota sekutu Malaysia di Pusat Pilihan Pengguna.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS