Paling Popular
Terkini

SURAT | Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) menyokong ucapan perbahasan usul Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) oleh Ahli Dewan Negara, Awang Sariyan, di Dewan Negara pada 31 Mac lalu.

Pena sangat menyokong cadangan Awang agar kerajaan menubuhkan Pusat Tamadun Melayu di ibu kota sebagai tempat meneguhkan fungsi kebudayaan kebangsaan.

Penubuhan pusat tersebut perlu disertai punca kuasa dan peruntukan yang mencukupi untuk menjadi pusat kajian, pusat pengembangan, dan pusat pendokumentasian.

Terlalu banyak khazanah bangsa yang masih belum diuruskan dengan sempurna kerana peranan pelbagai agensi yang berkaitan dengan kebudayaan masih dipecah-pecahkan menurut pembahagian masing-masing.

Bidang penyelidikan masih ketinggalan sehingga menyebabkan kewujudan warisan benda (tangible) dan tak benda (intangible) tersorok di bawah timbunan pembangunan material.

Dengan adanya pusat yang lengkap dan berstruktur itu, pendokumentasian akan dapat dibuat dengan lebih baik, penyelidikan oleh pengkaji dalam dan luar negara juga dapat berlangsung dengan lancar, dan akhirnya negara akan menjadi pusat kunjungan para sarjana antarabangsa.

Selain itu, Pena menyokong cadangan Awang agar Akta Dewan Bahasa dan Pustaka yang sudah dirancang pindaannya diterima oleh kerajaan.

Pindaan itu akan memberikan bidang kuasa penarafan dan penguatkuasaan kepada DBP dalam soal kebahasaan.

Bidang kuasa itu sangat penting sekiranya kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara dalam perlembagaan mahu dilaksanakan dengan penguatkuasaan.


MOHAMAD SALEEH RAHAMAD ialah presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS