Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | 1 Syawal mungkin tak disambut serentak di rantau ini

SURAT | Baru-baru ini terdapat laporan menjangkakan kemungkinan tahun ini tarikh 1 Syawal di Indonesia berbeza dengan negara-negara lain di rantau ini, termasuk Malaysia.

Negara Indonesia mempunyai banyak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam/ organisasi kemasyarakatan (ormas) seperti Muhammadiyah, Nahdlatul Ulama, Persatuan Islam (Persis) dan lain-lain lagi.

Terdapat ormas yang mempunyai kaedah tersendiri dalam menyusun Takwim Hijri dan menetapkan tarikh hari raya. Di samping itu, Ormas ini mempunyai pengikut yang ramai di Indonesia contohnya Muhammadiyah dan Nahdlatul Ulama.

Ormas berhak mengumumkan tarikh hari raya, dan awal puasa berlandaskan kepada Pasal 29 Ayat 2 Undang Undang Dasar 1945 Indonesia: “Negara menjamin kemerdekaan setiap orang memeluk agamanya masing-masing dan untuk beribadat menurut agamanya dan kepercayaannya itu”.

Namun begitu, pihak kerajaan juga mempunyai Takwim Hijri yang dinamakan Kalender Hijriah Indonesia. Takwim Hijri ini untuk kegunaan urusan rasmi kerajaan. Kementerian Agama Republik Indonesia akan mengumumkan tarikh awal puasa dan hari raya untuk kemaslahatan orang ramai di Indonesia.

Perbezaan tarikh

Dalam pada itu, Muhammadiyah telah mengumumkan lebih awal tarikh 1 Syawal 1444 jatuh pada Jumaat, 21 April 2023. Tarikh tersebut dipilih berdasarkan hisab wujudul hilal (anak bulan telah berada di atas ufuk Indonesia).

Anak bulan telah memenuhi syarat hisab wujudul hilal pada hari melihat anak bulan yang menyebabkan 1 Syawal tahun ini ditetapkan pada tarikh tersebut.

Sementara itu, pemerintah Indonesia berpandukan pada rukyah (cerapan) dan hisab (kiraan) kriteria imkanurukyah yang dipersetujui peringkat Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura (MABIMS).

Mengikut hisab kriteria imkanurukyah MABIMS, kedudukan anak bulan di Indonesia tidak memenuhi kriteria tersebut pada hari melihat anak bulan. Justeru, ada kemungkinan Aidilfitri bersamaan Sabtu, 22 April 2023 akan diumumkan oleh pemerintah Indonesia.

Namun begitu, ia bergantung kepada keputusan rukyah dan akan diumumkan secara rasmi oleh kerajaan Indonesia dalam sidang isbat pada hari melihat anak bulan.

Kemungkinan berlakunya perbezaan antara Muhammadiyah dengan pemerintah Indonesia itu ada, sekiranya kerajaan Indonesia menetapkan tarikh 1 Syawal tahun ini pada hari Sabtu, 22 April 2023 sedangkan Muhammadiyah telah menetapkan tarikh lebaran pada Jumaat, 21 April 2023.

Jika terjadi perbezaan tarikh hari raya tahun ini di Indonesia, masyarakat diharap akan saling hormat-menghormati meraikan perbezaan seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Penentuan 1 Syawal Negara MABIMS

Negara-negara MABIMS mengamalkan rukyah (cerapan) dan hisab (kiraan) dalam penentuan hari raya berdasarkan nas yang sahih; Rasulullah SAW bersabda: “Berpuasalah kamu apabila melihat anak bulan dan berbukalah (berhari raya) sekiranya melihat anak bulan. Sekiranya mendung, maka sempurnakanlah 30 hari Syaaban” (Sahih Bukhari).

Hisab kriteria imkanurukyah yang menjadi panduan bagi penentuan Aidilfitri di negara-negara MABIMS ialah;

“Ketika matahari terbenam ketinggian bulan tidak kurang 3 darjah dan jarak lengkung Bulan dan Matahari (elongasi) tidak kurang dari 6.4 darjah”.

Justeru, berdasarkan kiraan tidak rasmi dan mengikut takwim, tarikh Aidilfitri tahun ini di Indonesia, Brunei dan Singapura, Malaysia jatuh pada Sabtu, 22 April 2023 disebabkan oleh kedudukan anak bulan tidak memenuhi kriteria imkanurukyah MABIMS.

Namun begitu, ia bergantung kepada keputusan rukyah yang dijalankan pada hari Khamis, 20 April 2023/29 Ramadan 1444 dan tertakluk kepada pengumuman rasmi oleh pihak berkuasa di negara terbabit. Malaysia tertakluk kepada pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Semua pihak perlu menghormati ketetapan Majlis Raja-Raja.


Penulis merupakan pengerusi Persatuan Jurufalak Syarie (NGO) yang dianggotai oleh kakitangan yang bertugas atau pernah bertugas dalam bidang falak. Mereka juga lulusan universiti awam/swasta atau institusi berkaitan falak/astronomi.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS