Semalam saya bawa ibu saya seorang OKU berkerusi roda berumur 89 tahun ke Hospital Shah Alam dan mendapat pengalaman yang sangat menyedihkan kerana masa menunggu untuk proses untuk berjumpa doktor, dapatkan tarikh janji temu baru dan mengambil ubat mengambil masa lebih enam jam?
Dalam kes ibu saya, ibu saya terpaksa ambil tiga kali nombor giliran bermula lapan pagi berakhir hampir 4.30 – 5.00 petang.
Pemerhatian saya sistem nombor giliran yang diamalkan pihak hospital untuk Jabatan Pesakit Luar wajar dikaji semula. Aliran kerja harus dikemas kini semula.
Seorang pesakit yang sudah ada janji temu (appointment) tak perlu tunggu hampir dua jam untuk ambil nombor giliran di pendaftaran berpusat (central registration). Sepatutnya boleh terus ke bahagian doktor pakar memandangkan sudah ada janji temu dengan doktor pada hari itu.



Nombor giliran mengambil masa hampir satu jam tetapi berjumpa doktor hanya mengambil masa tak sampai lima minit.
Tetapi lepas jumpa doktor proses seterusnya untuk mendapatkan tarikh janji temu mengambil lebih satu jam lagi (hanya nak dapatkan satu tarikh baru untuk berjumpa doktor lime ke enam bulan kemudian).
Dan proses ambil ubat di farmasi, makan sejam lebih dan sistem giliran juga merupakan antara sebab ia mengambil masa yang lama.
KKM sewajarnya ada sistem penyuraian (dispersal), pesakit akan mendaftar terus di jabatan / klinik rawatan yang berdasarkan jenis penyakit masing-masing atau rawatan yang tertentu bukan “melonggokkan” semua pesakit untuk didaftarkan di satu kaunter pendaftaran berpusat seperti diamalkan sekarang.
Sistem menyusun tarikh janji temu juga harus dikemas kini. Apa yang jadi di bahagian doktor pakar ialah jururawat di kaunter yang kendalikan jadual janji temu juga terpaksa melayan (diganggu) pesakit-pesakit baru yang hadir untuk appointment jumpa doktor, sebaliknya pesakit yang ‘telah’ berjumpa doktor masih menunggu sejam lagi untuk peroleh tarikh janji temu yang baru.
Apabila sudah selesai sekian lama menunggu mendapat tarikh janji temu baru, pesakit kena turun pula ke farmasi untuk mendapatkan bekalan ubat-ubatan dan lazimnya proses menunggu dalam sekitar satu ke satu jam setengah lagi.
KKM perlu duduk dan buat study untuk melihat job flow pergerakan pesakit-pesakitnya, bergerak dari satu station ke satu station untuk mendapatkan rawatan hospital.
Mana mungkin seorang pesakit yang sudah ada janji temu jumpa doktor terpaksa mengharungi satu jangka masa yang panjang dalam keadaan mereka terpaksa kencing dan berak dalam pampers di atas kerusi roda yang mereka duduk hampir enam jam?
Jangan disebabkan pesakit-pesakit ini dari kalangan B40 atau mereka yang miskin mendapatkan ubat-ubatan secara percuma atau dengan harga yang minimal, maka KKM ambil sikap tidak prihatin kepayahan mereka yang terdiri dari golongan warga emas, OKU yang terpaksa mereka harungi di kebanyakan hospital kerajaan seluruh negara.
Ramai sudah merunggut kelewatan servis terutama waiting time Hospital tetapi sedih KKM masih belum bangkit dari tidurnya.
Kena study dan upgrade system penyuraian kerja di hospital ini demi kepentingan rakyat jelata umumnya dan Parti Hijau yakin kemampuan Kerajaan Madani untuk melaksanakan perubahan ini.
ABDUL RAZAK BIN ISMAIL ialah setiausaha penaja Parti Hijau Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
