Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Tamatnya hegemoni AS dalam kewangan global

SURAT | Dolarisasi (antonim kepada dedolarisasi) melambangkan dominasi AS dalam kewangan global.

Ia bermula pada 1920-an apabila dolar AS mula menggantikan pound sterling sebagai mata wang rizab antarabangsa kerana negara itu muncul dari Perang Dunia I tanpa banyak terjejas.

Sementelah pula negara itu menerima kemasukan aliran emas yang agak ketara semasa perang.

Setelah AS menjadi kuasa besar yang lebih kuat semasa Perang Dunia II, Persetujuan Bretton Woods pada 1944 membentuk sistem kewangan antarabangsa pascaperang, dengan dolar AS menjadi mata wang rizab utama dunia untuk perdagangan antarabangsa.

Ia juga -satunya mata wang pascaperang yang dikaitkan dengan emas pada nilai AS$35 setiap auns troy.

Jabatan Perbendaharaan AS mempunyai pengawasan ketara ke atas rangkaian pemindahan kewangan SWIFT dan mempunyai pengaruh besar ke atas sistem urusan kewangan global, dengan keupayaan untuk mengenakan sekatan ke atas entiti dan individu asing.

SWIFT merujuk kepada sistem Persatuan Telekomunikasi Kewangan Antara Bank Sedunia yang mengendalikan kebanyakan pemindahan wang dan sekuriti antarabangsa.

Ghaddafi, Saddam dalam teori konspirasi

Ia merupakan rangkaian pesanan yang digunakan secara meluas oleh institusi kewangan untuk menghantar dan menerima maklumat dengan pantas, tepat, dan selamat, seperti arahan pemindahan wang.

Namun perbelanjaan negara yang meningkat pada 1960-an menyebabkan timbulnya keraguan tentang keupayaan AS untuk mengekalkan penukaran emas dengan dolar, mengakibatkan stok emas semakin berkurangan apabila bank-bank dan pelabur antarabangsa mula menukar dolar kepada emas yang kemudian menyebabkan kejatuhan nilai dolar.

Berdepan dengan krisis mata wang dan risiko AS tidak lagi dapat menebus dolar dengan emas, penukaran dolar-emas itu akhirnya dihentikan oleh Presiden AS Richard Nixon pada 1971.

Langkah itu mencetuskan fenomena "Nixon shock."

Ia adalah satu siri tindakan ekonomi yang diambil pada 1971 sebagai reaksi terhadap inflasi yang semakin meningkat.

Apa yang paling penting ia termasuk pembekuan gaji dan harga, caj tambahan ke atas import, dan pembatalan unilateral penukaran langsung dolar AS kepada emas.

Menjelang 1973, rejim semasa yang berasaskan mata wang fiat terapung secara bebas telah menggantikan sistem Bretton Woods.

Satu lagi konsep yang ada kaitan dengan dolarisasi ialah petrodolar apabila semua perdagangan antarabangsa minyak mestilah menggunakan dolar AS.

Teori konspirasi menyatakan secara meluas bahawa Saddam Hussein dan Muammar Gaddafi sengaja dibunuh kerana mereka berani menolak petrodolar dengan menjuarai penggunaan dinar sebagai mata wang perdagangan minyak (petrodinar).

Kerana itulah maka Iraq dan Libya - atas hasutan golongan neo-kon - dihancurkan melalui perubahan rejim dan menjadi negara yang gagal hingga ke hari ini.

Boleh mudah berbelanja

Namun, apabila Beijing dan Kremlin berani menolak petrodolar dengan menggunakan yuan (petroyuan) dan rouble (petrorouble) dalam perdagangan minyak mereka, Washington tidak berdaya untuk meruntuhkannya.

Kehadiran unggul dolar dalam perdagangan global, kewangan, dan pelaburan memberikan kelebihan ketara seperti kos urusan yang lebih rendah, risiko kadar pertukaran yang lebih rendah, dan keupayaan untuk membiayai defisit dengan kos yang lebih rendah.

Selain itu, dominasi dolar juga disokong oleh saiz dan kekuatan ekonomi dan pasaran kewangan AS yang mendalam dan cair, serta tanggapan negara itu sebagai benteng kestabilan.

Namun, dolar AS mempunyai kelemahan tersendiri apabila ia memberikan negara itu "keistimewaan yang terlalu besar" untuk mengekalkan defisit akaun semasa yang besar dan mengumpulkan jumlah hutang yang besar, yang boleh menyumbang kepada ketidakseimbangan dan ketidakstabilan ekonomi dunia.

Dengan kata lain, ia membolehkan AS membelanjakan dengan mudah sejumlah wang yang sangat besar untuk menjadi kuat dan sangat kaya seolah-olah tiada hari esok, atas “belas kasihan” semua orang di dunia.

Kebanyakan wang tersebut telah dan akan terus diagihkan kepada kompleks ketenteraan-perindustrian AS dan pembiayaan bagi projek perubahan rejim neo-kon.

Saat penghisaban bagi AS akan tiba apabila hutangnya menjadi terlalu besar sehingga nasibnya sebagai kuasa utama ekonomi akan lenyap tidak lama lagi.

Dominasi dolar juga menjadikan ekonomi lain rentan terhadap turun naik dasar monetari AS yang sering mengakibatkan kesan tumpahan yang mungkin tidak sejajar dengan keadaan ekonomi domestik mereka.

Selain itu, negara-negara yang memiliki banyak hutang dalam denominasi dolar mungkin menghadapi kerentanan yang lebih tinggi terhadap turun naik mata wang dan pembalikan arus modal, yang boleh memburukkan lagi risiko krisis kewangan.

Faktor-faktor itu, digabungkan dengan kekuatan ekonomi yang semakin meningkat dari negara-negara pesat membangun serta keinginan mereka untuk menyaksikan seni bina kewangan (financial architecture) yang lebih rencam dan berdaya tahan, telah mendorong minat banyak negara untuk meneruskan usaha dedolarisasi.

Dalam beberapa tahun terakhir, sejumlah negara dan wilayah memulai perjalanan menuju dedolarisasi dengan didorong oleh kombinasi pertimbangan geopolitik, ekonomi, dan strategik.

Ada pertanyaan besar

Pada 2020 Menteri Luar Russia, Sergey Lavrov, menjelaskan bahawa Moscow akan terus melanjutkan "dasarnya yang bertujuan ke arah dedolarisasi bertahap" dan membuat perjanjian dalam mata wang tempatan seberapa mungkin.

Lavrov menyifatkan penolakan terhadap dolar sebagai "respons objektif terhadap ketidakpastian dasar ekonomi AS dan penyalahgunaan Washington terhadap status dolar sebagai mata wang rizab dunia."

Pada sidang media 26 April lalu dia menegaskan AS terbukti tidak berkata benar selama beberapa dekad setelah penghapusan penukaran emas-dolar oleh Nixon apabila berkata: "Jangan bimbang, tanpa dukungan emas, ini bukanlah dolar kami. Ini adalah mata wang global bersama yang akan menjamin berfungsinya semua mekanisme ekonomi global.”

Lavrov seterusnya menegaskan lagi trend meninggalkan penggunaan dolar AS untuk penyelesaian perdagangan antarabangsa dan peralihan ke mata wang domestik adalah tidak dapat diubah lagi.

Dedolarisasi sudah bermula dengan tempo tidak begitu pantas, namun ia pasti semakin laju.

Sedang negara pesat membangun, negara pengeluar minyak di Timur Tengah, bahkan Eropah juga mencoba untuk menginovasi mekanisme pembayaran dan penyelesaian rentas sempadan, menandatangani perjanjian dua hala mata wang, dan menggalakkan kepelbagaian rizab pertukaran asing, Lavrov berkata tempo "dedolarisasi" global semakin pantas.

Diplomat Rusia itu juga menyatakan ada "pertanyaan besar" mengenai apa yang akan terjadi pada sistem kewangan antarabangsa, "termasuk Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia".

Pada akhir Mac, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyarankan penubuhan Tabung Kewangan Asia (AMF) ala IMF untuk mengurangkan kebergantungan pada dolar AS.

Dia membuat saranan itu di Forum Boao di Hainan, China, dengan menekankan peri perlunya mengurangi kebergantungan pada dollar AS atau IMF.

IMF pula - di bawah pengaruh AS dan EU - nampaknya sibuk dan terlalu terpaku untuk menampung kewangan rejim Kiev demi memperpanjang perang Ukraine.

Menurut Anwar, Beijing terbuka untuk berbincang dengan Malaysia mengenai penubuhan AMF.

Saranan pemimpin Malaysia itu dibuat hanya beberapa bulan setelah sejumlah bekas pegawai di Singapura membincangkan apa yang seharusnya dilakukan oleh ekonomi serantau bagi mengurangkan risiko dolar AS yang masih kukuh yang melemahkan mata wang tempatan.

Beberapa penganalisis bimbang, sedang negara-negara mengurangkan kebergantungan mereka pada dolar AS, penyelarasan dalam komposisi aset rizab global boleh menyebabkan peralihan dalam aliran modal dan perubahan harga aset.

Tak nampak negara lain

Sekiranya tiada penyelarasan dasar dan pengurusan risiko yang mencukupi, perubahan itu boleh mewujudkan ketidakstabilan kewangan, terutama dalam pasaran baru muncul dan negara yang mempunyai hutang dalam denominasi dolar yang besar.

Justeru penggubal dasar harus berwaspada dalam memantau dinamik tersebut, lantas mengambil langkah-langkah yang tepat untuk menjaga kestabilan kewangan.

Sementara itu, Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen, akur akan berkurangnya peranan dolar AS sebagai mata wang rizab dunia kerana Washington menggunakan pengaruhnya ke atas sistem kewangan global untuk mencapai matlamat geopolitiknya melalui sekatan.

Namun dia dengan angkuh berkata tiada calon jelas untuk menjadi pengganti.

Janet berkata demikian apabila ditanya dalam satu wawancara dengan Fareed Zakaria dari CNN pada 16 April.

Dia ditanya mengenai keberkesanan sekatan anti-Russia dan rekod Washington dalam "persenjataan dolar".

Janet akur penggunaan sekatan kewangan "boleh melemahkan hegemoni dolar" dalam jangka panjang, tetapi berjanji Washington menggunakan “alat penting” ini dengan bijaksana dan dengan sokongan sekutunya.

Dia menambah peranan dolar AS adalah disebabkan oleh faktor-faktor seperti saiz pasaran perbendaharaan negara itu, penggunaannya yang meluas dalam perdagangan antarabangsa, dan "peraturan perundangan" yang tidak dapat ditawarkan oleh negara-negara lain.

"Kami belum melihat negara lain yang mempunyai infrastruktur asas dan infrastruktur institusi yang membolehkan mata wangnya berkhidmat untuk dunia seperti ini," jelasnya.

Dalam hal itu dia kelihatan tidak memahami inti pati isu kerana penentang dominasi AS dalam kewangan global tidak semestinya menggesa penggantian dolar dengan mata wang lain yang memainkan peranan yang sama.

Kata penyokong model sedemikian, mereka sebenarnya mengutamakan peralihan dari dolar ke mata wang serantau. Ketiadaan mata wang rizab global yang tunggal akan menjadi elemen semulajadi multipolariti.

Bagi mereka, penggunaan sekatan yang belum pernah terjadi oleh Barat terhadap Russia - termasuk larangan perdagangan, rampasan rizab negara dan penafian perkhidmatan kewangan kepada syarikat-syarikat Russia - hanya akan mempercepat peralihan itu.

"Bukan satu kebetulan apabila perbincangan tentang peralihan kepada mata wang kebangsaan telah digerakkan sekarang," kata Lavrov semasa perbincangan mengenai perdagangan Russia-Brazil Feb lalu.

"Tiada yang tahu siapakah yang tidak disenangi presiden AS setelah bangun di sisi katil yang salah."


JAMARI MOHTAR ialah editor bulletin berita dalam talian mengenai hal ehwal semasa, Jom Sembang!.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS