Kami merujuk kepada artikel berita Bernama bertajuk ‘Wanita maut dalam kebakaran sebelum subuh di rumah orang tua PJ ' bertarikh Selasa, 01 Ogos 2023.
Pertama sekali, kami ingin mengucapkan takziah kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam kebakaran itu.
Premis yang disebut dalam artikel itu adalah salah satu daripada beberapa pusat jagaan yang terletak di Seksyen 5, Petaling Jaya, dan terletak tidak jauh dari Bangunan KWSP lama di Jalan Gasing yang terbakar dua bulan lalu ketika diubah suai sebagai kemudahan kediaman warga emas.
Terdapat keraguan sama ada rumah orang tua yang terbakar itu telah diluluskan dengan sewajarnya untuk digunakan sebagai pusat jagaan.
Persatuan Penduduk Seksyen 5 Petaling Jaya (RA5PJ) mengetahui bahawa beberapa aduan dan pertanyaan rasmi telah dibuat berulang kali kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sejak September 2022.
Pengadu tersebut telah meminta supaya pemeriksaan dibuat ke atas premis ini untuk mengesahkan sama ada ia berlesen sewajarnya dan diluluskan untuk beroperasi. Malangnya, tiada jawapan diterima mengenai status pendaftaran, dan nampaknya tiada tindakan yang diambil sehingga kini.
Kami sedar bahawa kemudahan penjagaan warga emas adalah sangat diperlukan oleh warga emas dan keluarga yang tidak lagi mampu menjaga mereka. Bagaimanapun, adalah wajib untuk pihak pengusaha rumah jagaan tersebut menyediakan penjagaan yang berkualiti untuk penghuni mereka, mematuhi semua undang-undang yang berkaitan dan menjadi jiran yang bertanggungjawab apabila menjalankan perniagaan di kawasan kediaman.
Bawah Akta Pusat Jagaan 1993, adalah wajib bagi setiap pusat jagaan di Malaysia untuk didaftarkan.
Mana-mana orang yang mengendalikan atau mengambil bahagian dalam pengurusan pusat jagaan yang tidak berdaftar apabila disabitkan, boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. Kes kesalahan yang berterusan boleh didenda satu ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu berterusan (s.5(1)&(2)).
Proses pendaftaran melibatkan pemeriksaan premis untuk disahkan selamat oleh Jabatan Bomba.
Sebarang bangunan kediaman yang ditukar guna untuk kegunaan perniagaan memerlukan kelulusan dari pihak Majlis Perbandaran.
Tetapi di manakah penguatkuasaan undang-undang ini? Mengapakah begitu banyak pusat jagaan dibenarkan beroperasi tanpa pendaftaran, dan tanpa paksaan memenuhi syarat-syarat yang telah diperuntukkan oleh undang-undang?
Kami ingin menyatakan bahawa pihak RA5PJ mengambil berat tentang keadaan ini. Pusat jagaan tidak berdaftar yang dibenarkan beroperasi tanpa pensijilan Bomba dan Kesihatan menimbulkan risiko yang serius kepada penghuni rumah tersebut dan juga kepada rumah-rumah jiran.
Terdapat keperluan mendesak untuk semua pusat jagaan tidak berdaftar di Petaling Jaya dikenal
pasti dan undang-undang dikuatkuasakan dengan sewajarnya. Membenarkan pusat jagaan tidak berdaftar ini terus beroperasi hanyalah meningkatkan kemungkinan satu lagi tragedi akan berlaku.
Disamping itu, kami juga menggesa penguatkuasaan undang-undang yang ketat ke atas semua perniagaan yang beroperasi di zon kediaman, terutamanya yang boleh menjejaskan keselamatan
penduduk berhampiran. Apabila aduan diterima mengenai premis tersebut, MBPJ mesti bertindak cepat dan memajukan perkara itu dengan pantas kepada agensi berkaitan jika perlu.
Mana-mana kelonggaran yang diberikan sebelum tindakan diambil haruslah menentukan tempoh tertentu, contohnya, enam bulan. Tambahan pula, MBPJ perlu memaklumkan kepada jiran premis tersebut tentang tindakan undang-undang yang sedang diambil.
Pengusaha perniagaan tidak seharusnya dibenarkan mementingkan keuntungan sendiri sambil mengabaikan keselamatan dan kesejahteraan jiran.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
