Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Tidak lama dahulu, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mencadangkan agar cukai pintu dinaikkan. Alhamdulillah, berkat kesepakatan penduduk menentang kenaikan cukai pintu itu, pihak berkuasa tempatan ini memikirkan semula cadangan tersebut.

Hasilnya, tiada kenaikan buat masa ini, walaupun ada kemungkinan kenaikan tersebut dikuatkuasakan selepas kerajaan Barisan Nasional menang besar sekali lagi dalam pilihanraya umum akan datang.

Setelah hampir lima tahun tinggal di Bandar Baru Bangi, saya perpendapat MPKj lansung tidak layak untuk menaikkan cukai pintu dalam masa terdekat ini kerana perkhidmatan yang diberikan tidak mencerminkan kualiti yang disarankan oleh pentadbiran Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bahkan masih mengamalkan 'mentaliti kelas ketiga'. Ini amatlah menyedihkan kerana Bandar Baru Bangi rata rata didiami oleh penghuni yang berpendidikan tinggi dan profesional.

Penduduk Bandar Baru Bangi juga amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri Selangor, dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) khasnya, kerana telah menyediakan pelan pembangunan yang terancang dengan pelbagai kemudahan. Namun begitu, hampir semua kemudahan bertaraf kelas satu ini adakalanya bertukar menjadi kekecewaan apabila tidak diselenggara dengan baik oleh MPKj.

Berikut adalah beberapa kelemahan yang perlu ditangani oleh MPKj untuk menjadikan Bandar Baru Bangi sebagai sebuah kawasan elit dan dikagumi umum:

  1. Keadaan jalanraya yang tidak memuaskan Banyak jalan jalan di kawasan pentadiran MPKj berada dalam keadaan kotor dengan batu kelikir serta pasir menjadi sebahagian dari landskap di kawasan persimpangan dan bulatan. Selain itu, banyak pula jalan berlubang yang cuma ditampal, sekadar melepaskan 'melepaskan batuk di tangga'. Keadaan jalanraya yang tidak diselenggara ini boleh mengundang bahaya kepada pengguna.

  • Landskap yang tidak terurus Pihak berkuasa tempatan seolah oleh membutakan mata dan memekakkan telinga (terhadap aduan yang dibuat) mengenai keadaan rumput di kiri kanan serta pembahagi jalan yang terbiar. Pemotongan rumput di kawasan taman pula tidak mengikut jadual dan pemotongan cuma dibuat selepas menerima aduan.
  • Lampu jalan yang tidak berfungsi Walaupun tiang lampu terdapat di kiri dan kanan jalan serta di kawasan perumahan, namun banyak yang tidak menyala. Ini boleh mengundang bahaya kerana terdapat ramai buruh warga asing di Bandar Baru Bangi.
  • Lori sampah yang uzur dan kotor Adalah menghairankan bagaimanakah MPKj boleh meneruskan perkhidmatan kontraktor sampah yang menggunakan lori sampah yang langsung tidak melambangkan Bandar Baru Bangi sebagai sebuah kawasan maju. Teknik kutipan sampah amat primitif dan menyebabkan sampah berciciran di atas jalan. Sebaliknya, majlis daerah di bandar bandar kecil menggunakan lori yang jauh lebih baik.
  • Koloni burung gagak semakin besar Kehadiran burung gagak yang banyak melambangkan keadaan ekologi di kawasan Bandar Baru Bangi masakini yang tidak sihat. Pihak berkuasa pula tidak mempunyai sebarang penyelesaian kepada masalah ini. Namun begitu, cara yang terbaik ialah dengan menjaga kebersihan.
  • Anjing liar Kehadiran anjing liar yang memakan sampah serta mengotorkan kawasan perumahan pada waktu malam bukanlah satu perkara baru. Namun, tiada sebarang tindakan yang diambil.
  • Denggi Bandar Baru Bangi sering menjadi zon denggi antara yang tertinggi di Selangor. Pendekatan yang lebih holistik perlu diambil untuk menangani masalah ini.
  • Lampu isyarat yang 'tidak pintar' Pemandu yang keluar dari Bandar Baru Bangi menggunakan Jalan Perusahaan pada waktu puncak di sebelah pagi tentunya tidak berpuas hati dengan lampu isyarat yang tidak memberi keutamaan kepada pemandu di jalan utama, sehingga menyebabkan kesesakan. Keadaan ini boleh diperbaiki sekiranya MPKj meminta kerjasama polis trafik.
  • Apa yang saya nyatakan di sini adalah ikhlas, dengan harapan agar pihak MPKj dapat membaiki keadaan untuk keselesaan penghuni Bandar Baru Bangi dan kawasan lain yang diselianya. Saya juga berharap pandangan saya ini mendapat perhatian wakil rakyat Bandar Baru Bangi, YB Dato' Dr Amran Kasimin, memandangkan pilihanraya umum pun tidak lama lagi.

    Malahan Dr Amran boleh menyampaikan perkara ini kepada pentadbiran MPKj kerana beliau juga merupakan ahli MPKj. Saya juga pernah membaca akhbar bahawa MPKj mempunyai paling ramai 'profesional' dilantik menjadi ahli majlis tersebut.

    Akhir sekali, saya berharap agar MPKj tidak bertanya soalan "di mana?" setiap kali sesuatu aduan dibuat kerana sepatutnya pegawai mereka membuat rondaan untuk memastikan seliaan dijalankan dari masa ke semasa.


    Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

    ADS