Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kami merujuk kepada tulisan Azly Rahman dalam kolumnya bertajuk Who owns Harvard of the East?

Apabila membaca pandangan beliau, secara sepintas lalu kelihatan saudara Azly sememangnya seorang yang patriotik dan macam berminat untuk berkhidmat kepada bangsa dan negaranya. Dalam pengamatan kami di KPPM, ini adalah kali kedua saudara Azly membuat tuduhan tidak berasas terhadap Universiti Utara Malaysia (UUM) amnya dan Naib Canselornya, Dato' Nordin Kardi khususnya.

Sebagai sebuah kumpulan pengkaji yang kritikal dan berteraskan keseimbangan pandangan, tidak mungkin kami menerima sahaja pandangan Azly (atau sesiapa sahaja) tanpa membuat penyelidikan lanjutan. Disebabkan isu dan komentar Azly dilihat mempunyai kaitan dengan kepentingan negara dan bangsa, serta saudara Azly juga mendakwa beliau juga seorang yang cukup patriotic, maka KPPM merasakan isu ini perlu dijelaskan kepada semua pembaca malaysiakini.

Kami juga berpandangan adalah amat tidak adil sekiranya tidak disiarkan satu pandangan yang boleh mengimbangi pandangan sinis Azly terhadap UUM dan pengurusan tertingginya, khususnya naib canselornya.

Dalam tulisannya itu, beliau mendakwa amat mengambil berat kepentingan anak bangsanya, khususnya generasi pelajar yang berada di UUM. Namun, Azly tidak pernah menjelaskan kepada umum bahawa beliau telah mengingkari arahan universiti apabila gagal kembali untuk menyambung tugas beliau di UUM setelah selesai pengajiannya. Beliau lebih seronok untuk bekerja di luar negara, berbanding berkhidmat untuk anak bangsa sehingga sanggup mengingkari kontraknya dengan pihak pembiaya.

Faktanya ialah Azly bersama sama isterinya telah menggunakan wang rakyat dan pembayar cukai negara sebanyak RM1.4 juta untuk pembiayaan sepanjang pengajiannya. Bayangkan wang sebanyak itu boleh digunakan untuk menampung dan membiayai pengajian berapa ramai pelajar yang kononnya amat dibela nasibnya oleh Azly.

Pelajar pelajar ini terpaksa mengikat perut dengan pembiayaan yang tidak seberapa dalam usaha pihak universiti dan kerajaan untuk memperbanyakkan pensyarah yang memiliki pengajian di tahap tertinggi. Inilah balasan Azly terhadap kerajaan dan universiti yang telah membantu beliau. Atau beginilah tafsiran patriotik kepada Azly, menggigit semula tangan yang pernah membantu beliau suami isteri.

Dalam tulisannya, beliau kelihatan amat memperjuangkan autonomi universiti daripada campurtangan pemerintah. Malah, katanya inilah yang menjadi sebab beliau tidak berminat untuk menyambung khidmat di UUM dulu kerana lebih rela untuk tidak menandatangani surat akujanji.

Lebih menarik, beliau menulis 'I am sure the thousands of student and the hundreds of lecturers will have ideas on how to make UUM totally free from political stranglehold and be liberated like the real Harvard University'.(Saya pasti ribuan pelajar dan ratusan pensyarah tahu bagaimana hendak membebaskan UUM sepenuhnya daripada kongkongan politikdan bebas sebenar-benarnya seperti Universiti Harvard.)

Universiti itu, katanya lagi, kini ditadbir oleh seorang pengampu pemerintah, bekas propagandis utama kerajaan yang menghasilkan regim totalitarianisme di UUM. Amat menghairankan apabila dalam usahanya untuk memasuki semula UUM, Azly dengan tanpa segan silu telah meminta bantuan dari Kementerian Pengajian Tinggi. Bukankah ini bukti jelas Azly mengundang campurtangan kementerian ke dalam pentadbiran universiti?

Mana dia autonomi yang diagung agungkan sangat oleh Azly sebelum ini. Naib canselor UUM setahu saya tidak pernah menggunakan kuasa 'orang atas' seperti mana Azly meminta bantuan Dato' Hassan Said, Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi sebagaimana ditulis dalam artikelnya. Siapakah yang lebih membela dan menjaga autonomi universiti, Azly atau naib canselor UUM?

Amat melucukan bahawa sebelum itu, dalam usahanya untuk memasuki semula UUM, Azly telah menulis surat kepada Dato' Nordin Kardi, memuji mujinya sebagai seorang yang berfikiran terbuka. Namun, sebaik saja beliau mendapat tahu permohonan beliau ditolak pihak universiti, beliau tanpa segan silu telah menuduh naib canselornya macam macam sepertimana tercatat dalam artikel berkenaan.

Jadi, ternyata sekarang, siapakah yang hipokrit dan pengecut? Siapakah yang lebih patriotik dan siapakah yang tidak bermaruah?

ADS