Sambutan hari raya Aidilfitri di Malaysia sangat sinonim dengan kemeriahan mengunjungi rumah ke rumah serta pemberian duit raya.
Mengimbau kembali zaman 90-an, kebiasaannya duit raya diberi kepada kanak-kanak dengan membungkus gula-gula bersama duit syiling ke dalam plastik lut sinar kecil.
Duit syiling 50sen pun sudah besar nilainya bagi kanak-kanak pada zaman dahulu.
Namun tidak lagi pada masa kini yang mana jika dibandingkan nilai mata wang sudah pun jauh berbeza.
Tahun 2024 menyaksikan perkembangan teknologi yang kian moden.
Penggunaan DuitNow QR untuk transaksi kaedah tanpa tunai bagi belian barang dan pemindahan wang antara bank kini digunakan secara meluas.
Menjelang hari raya pula, sudah pastinya setiap individu memiliki pandangan berbeza dalam medium pemberian duit raya.
Berbanding pemindahan wang secara dalam talian, pemberian duit raya menggunakan wang tunai masih lagi popular.
Saban tahun pada penghujung Ramadan, rata-rata daripada rakyat Malaysia akan melakukan penukaran wang tunai bagi tujuan pemberian duit raya di bank berdekatan.
Segelintir daripada kita pada hari ini mempersoalkan rasional untuk membuat penukaran duit raya yang memerlukan pengguna menghabiskan masa dengan beratur panjang di kaunter bank.
Hal ini kerana, mereka berpendapat bahawa pemberian duit raya secara dalam talian seperti melalui aplikasi Touch ‘n Go eWallet dan DuitNow QR adalah lebih mudah.
Bau helaian not berwarna biru yang masih baharu di dalam sampul bukan sahaja mampu menggamit nostalgia lebaran.
Bahkan, dapat berkongsi kegembiraan terutamanya jika penerima tersebut adalah golongan yang berkemampuan.
Bagaimanapun, zaman kini mungkin ada yang berpendapat nilai RM1 terlalu kecil.
Oleh itu, ibu bapa perlu menekankan adab kepada anak-anak khususnya yang masih kecil apabila menerima pemberian duit raya.
Tanamkan rasa syukur dalam diri mereka walau sekecil mana pun nilai wang tersebut, seterusnya mendoakan kebaikan kepada orang yang memberi.
Bagi pemberi pula, seharusnya wang tersebut diberi dengan ikhlas dan tidak mengungkit pada kemudian hari. Ukur baju di badan sendiri. Berilah wang tersebut mengikut kemampuan diri.
Tidak ada gunanya juga jika memberi dengan nilai yang besar namun timbul rasa riak dalam hati.
Pemberian duit raya tidak seharusnya dianggap sebagai satu tradisi sahaja, namun anggaplah ia sebagai satu peluang ibadah kita kepada Yang Maha Esa.
Dalam pada itu, terdapat makna yang lebih besar di sebalik tradisi pemberian duit raya.
Merujuk pendapat Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, pemberian duit raya pada bulan Syawal adalah menepati perbuatan bersedekah seperti yang digariskan dalam agama Islam.
Pemberian duit raya kepada sanak saudara dan jiran tetangga pula bukan sahaja dapat meraih pahala bersedekah, malahan juga pahala kerana menghubungkan silaturrahim.
Pemberian kepada ibu bapa pula mendapat pahala yang lebih menguntungkan iaitu pahala berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa.
Tidak kira walau apa jua bentuk pemberian duit raya, haruslah diingat bahawa ia bukanlah suatu kewajipan.
Budaya pemberian duit raya tidak seharusnya menjadi tekanan atau bebanan. Berilah jika mampu.
Sebaliknya jika tidak berkemampuan, terdapat banyak amalan lain yang boleh dilakukan untuk mengeratkan silaturrahim, misalnya dengan menjamu makan tetamu yang bertandang ke rumah.
Sambutlah lebaran dengan penuh kesyukuran, bukan dengan pembaziran.
FARHANA ABD HAMID ialah warga Jabatan Bahasa Antarabangsa, Pusat Pengajian Bahasa, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.