Malaysia memerlukan revolusi pembaharuan hebat peringkat nasional yang memacu gaya konvensional kepimpinan dengan inovasi yang berasaskan prinsip-prinsip falsafah supaya fenomena kecelaruan and moral tidak menghantui negara.
Kepimpinan sangat bergantung kepada nilai-nilai moral and etika dan ianya menjadi tulang belakang proses pemerkasaan belia. Misalnya, pembangunan karakter holistik bermula semasa pembelajaraan sekolah.
Pendedahan kepada semangat kerjasama dan berkolaborasi melalui penyertaan dalam aktiviti-aktiviti berpasukan ko-kurikulum sekolah dan pencapaian akademik yang cemerlang dapat matangkan fikiran golongan muda.
Justeru, golongan belia yang memiliki tahap kematangan yang tinggi penting bagi penyertaan belia dalam pembangunan negara, terutamanya daripada aspek penglibatan sivik dalam arena politik dan bukan politik.
Masalahnya, infrastruktur pendidikan di sekolah yang tradisional tidak selari dengan keperluan kepimpinan zaman pascamodenisasi.
Menurut penurunan had usia mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun, golongan muda, selepas tamat persekolahan, memegang tanggungjawab yang penting untuk mengetahui hal ehwal negara supaya penglibatan dalam proses politik tempatan dijalankan secara berprinsip dan rasional dan tidak mengalami krisis yang merugikan negara.
Namun, pembelajaran aspek-aspek politik secara komprehensif masih tiada di sekolah. Isu ini mewujudkan implikasi negatif dalam jangka masa yang panjang terhadap kapasiti dan keupayaan golongan muda dalam pengurusan politik negara.
Jikalau medium pembelajaran politik tidak disediakan di sekolah dan golongan muda tidak mencapai pemerkasaan literasi politik yang cekap selepas persekolahan, beban itu ditolak semata-matanya kepada mereka sendiri untuk lakukan.
Tanpa panduan terperinci, golongan belia mudah terpengaruh mainan naratif, sentimen dan retrorik negatif serta ideologi ekstremisme yang semakin berleluasa dalam negara.
Ancaman polarisasi sosial dan gejala ekstremisme hanya boleh ditangani oleh generasi muda yang bersikap kenegaraan dan mempunyai iltizam untuk memperkasa penghayatan budaya kepimpinan yang kukuh.
Pembaharuan sistem pendidikan wajib dilaksanakan. Pertubuhan Falsafah Malaysia percaya bahawa masanya telah tiba untuk Malaysia memperkenalkan subjek Pendidikan Falsafah di sekolah.
Terdapat pelbagai manfaat dengan pembelajaran Pendidikan Falsafah. Teori dan karya tokoh-tokoh falsafah boleh membantu golongan muda untuk membuat penilaian semula andaian-andaian yang dipegang supaya mereka dipupuk dengan kemerdekaan pemikiran – bebas daripada pengaruh negatif.
Sebagai contoh, kaedah sokratik yang berasal dari ahli falsafah prominen Socrates, antara salah satu pendekatan dialog falsafah, menggalakkan individu-individu berfikir secara mendalam melalui pertanyaan soalan reflektif and proses pemikiran induktif.
Pendedahan kepada kaedah falsafah sokratik menyakinkan pelajar untuk memperolehi sifat ingin tahu dan mengambil inisiatif untuk menjadi lebih proaktif dan responsif dengan menyuara pandangan-pandangan sendiri dalam sesi pembelajaran.
Aktiviti-aktiviti sebegini dapat membina pemikiran kritis dalam golongan muda yang sanggup belajar tentang isu-isu hangat politik dengan mengawal emosi.
Pendidikan Falsafah boleh melahirkan cendekiawan-cendekiawan yang berilmu dan berfikir secara beradab, rasional and kritikal.
Ini dapat mencipta satu budaya kepimpinan yang menurunkan suhu politik negara dengan menggalakkan sikap pemahaman and toleransi antara satu sama lain supaya dialog konstruktif tentang dasar-dasar negara berasaskan fakta boleh diadakan secara terbuka tanpa gangguan politik negatif.
Dengan itu, Pendidikan Falsafah ada potensi untuk membaharui gaya kepimpinan tradisional dengan menghasilkan budaya kepimpinan yang baru dan unik.
PRAVIN PERIASAMY ialah pengarah rangkaian dan kerjasama, Pertubuhan Falsafah Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
