SURAT l Semalam, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin mengakui terdapat usaha daripada pihak tertentu yang mempelawa parti itu untuk bersama dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Malah, katanya, perkara itu juga ada dibangkitkan pada Majlis Syura Ulama, namun secara sepintas lalu dan belum ada sebarang keputusan muktamad.
Dia dilaporkan berkata, PAS “perlu kaji dan tengok baik buruk” mengenainya dan perkara itu akan diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat.

Mari kita kaji (pemerhati politik dan rakyat biasa) 'buruk' nya dulu.
Pertama, PAS akan terpaksa mencari cari sebab dan dalil kerana 'bersama' dalam kerajaan perpaduan.
Namun rasanya itu memang satu perkara senang dan 'enteng' bagi parti PAS, kerana ratusan ayat al-Quran dan hadis yang boleh digunakan sebagai dalil malah 'fatwa' untuk bersama siapa pun sebagai pemerintah.
Kedua, PAS terpaksalah bersikap 'malu-malu kucing' untuk bersama-sama menerima jawatan sama ada menteri, timbalan menteri, setiausaha politik, pegawai khas, pengerusi agensi kerajaan, GLC dan jawatan jawatan yang boleh direka khas seperti duta khas dan sebagainya, untuk pemimpin dan ahli PAS, dalam kerajaan perpaduan nanti.
Sudah tentu itu semua juga bukan masalah besar kerana memang itulah juga idaman dan matlamat ahli dan pemimpin PAS.
Ketiga, PAS terpaksa menelan semula kata-kata dan menutup mulut dari terus melabel sesiapapun dalam kerajaan perpaduan, sebagai agen Israel, Yahudi, CIA, anti-Islam, anti Melayu, anti perlembagaan, dajal dan pelbagai dakwaan serti tuduhan mengikut didikan ajaran dari kitab kita terpilih oleh ‘tok-tok guru, ustaz-ustaz dan agamawan’ terpilih mereka.

Itu juga bukan masalah besar bagi pemimpin PAS kerana memang sudah lama tersedia dalil-dalil dan 'fatwa' yang tersimpan itu, mengenai isu-isu berkaitan, dulu dan kini.
Itu baru sebahagian dari 'buruknya’ jika PAS mahu bersama kerajaan perpaduan.
Sekarang mari kita lihat pula 'baiknya’ jika PAS bersama kerajaan perpaduan.
Pertama, PAS bolehlah cadangkan agar kerajaan perpaduan beli kereta Mercedes, BMW atau Vellfire baru dan peruntukan pakaian rasmi setiap tahun untuk kegunaan para pemimpin 'kerajaan perpaduan' baru bersama PAS.
Kedua, PAS bolehlah cadangkan peruntukan lebih besar untuk ahli parlimen dan Adun setiap kawasan yang diuruskan sendiri dan boleh digunakan untuk aktiviti parti dan urusan peribadi.
Ketiga, PAS juga boleh cadangkan agar kerajaan perpaduan menganjurkan 'lawatan sambil belajar' ke negara-negara membangun sebagai penambahbaikan pengetahuan dan pengalaman sebagai pemimpin kerajaan.
Dan sudah semestinya semua cadangan dan tuntutan tersebut mesti diluluskan oleh perdana menteri dan kabinetnya, sesesuai dengan konsep kerajaan Madani yang dihasratkan.

Keempat dan yang paling penting serta 'baiknya’ bagi rakyat terbanyak, akan berkuranganlah sikap-sikap dan tindakan ekstremis serta radikal yang kerapkali menjadi halangan kepada suasana keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat terbanyak dalam negara selama ini.
PAS pun sedar bahawa kebanyakannya isu-isu yang dibangkit dan dipertikaikan terhadap usaha usaha kerajaan perpaduan pun bukanlah 'genuine atau tulen' sangat untuk digembar-gemburkan, sebagai usaha dan tindakan demi rakyat dan negara.
Banyak juga isu isu yang diriuh-rendahkan oleh PAS adalah bersifat halfbaked dan isu-isu semi fake, yang hanya dibangkitkan sebagai memenuhi tuntutan dan keseragaman politik partisan semata- mata.

Rakyat majoriti pun akan menerima baik keputusan 'baik' PAS bersama kerajaan perpaduan dibawah kepimpinan Anwar dan PH/BN tersebut.
Elok juga PAS mula mendalami pengertian falsafah call a spade, a spade dan walk the talk dalam berpolitik di negara ini.
RAMLI MOHD YUNUS adalah pembaca Malaysiakini.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
