Baru-baru ini saya ke Kelantan atas urusan kerja. Ini adalah lawatan terbaru saya dalam masa tujuh tahun. Apa yang saya ingin katakan adalah ia sangat menyayukan hati melihat keadaan negeri 'Serambi Mekah' tersebut.
Saya menginap di sebuah hotel di tengah bandar Kota Bharu dan jumlah penghuninya saya rasa boleh dikira dengan jari. Krisis air seperti yang digemburkan oleh akhbar membuatkan saya berhati-hati tetapi keadaan adalah lebih buruk daripada yang disangka.
Keadaan air di situ membuatkan kita tak berani untuk mandi apalagi untuk memberus gigi. Saya terpaksa menggunakan air mineral untuk membasuh gigi.
Keadaan sekitaran bandar Kota Bharu tidak terurus dan kotor. Ini berbeza ketika saya mula-mula menjejak kaki ke Kota Bharu lebih 12 tahun yang lalu.
Tetapi kini, keadaan peniaga-peniaga kecil yang tidak teratur dan sampah sarap yang bertaburan dan bau yang tidak selesa membuatkan kita berasa jijik dengan persekitaran. Yang lebih menyayatkan hati, kebanyakan peniaga tersebut adalah orang Melayu.
Yang memusykilkan saya adalah dalam masa 10 tahun PAS memerintah Kelantan, apakah pembangunan yang dilakukan? Keadaan menjadi bertambah teruk daripada pemerintahan Barisan Nasional dahulu.
Tuan Guru Nik Aziz selalu berucap dan mengeluarkan kata-kata nasihat dan mengutuk pemimpin kerajaan BN sekarang tetapi lihatlah kredibiliti beliau di negeri Kelantan. Kalau negeri Kelantan pun bertambah teruk apakan pula Malaysia nanti kalau di bawah permerintah mereka?
Keadaan di negeri Kelantan itu membuatkan kami beralih udara ke Terengganu yang mana keadaannya jauh berbeza dari negeri Serambi Mekah tersebut. Tetapi isu pemerintahan PAS membuatkan saya terkenang apa yang akan terjadi kepada Terengganu suatu hari nanti.
Kami rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaian negara setakat ini yang mana taraf kehidupan kita jauh berbeza daripada dulu. Apakah nanti suatu hari apabila PAS memerintah, adakah negara ini akan menjadi bertambah maju atau kita akan menjadi seperti Kelantan.
Mungkin kita akan menjadi seperti rakyat Kelantan yang berduyun-duyun berhijrah ke kotaraya dan ke negeri-negeri lain untuk mencari sesuap nasi bagi menyambung hidup seharian.
Rakyat Malaysia Yang Bangga
