Most Read
Most Commented
Read more like this

Wahai wartawan, tepuklah dada tanya selera!

Anda tidak perlu menjadi seorang ahli psikologi untuk mentafsirkan tamsil ibarat tujuan surat-surat Jacqueline Anne Surin dan serangannya terhadap 'motif' wartawan malaysiakini Zakiah Koya dan 'kredibiliti' malaysiakini (Unfair comment on journalists, Dec 8; Quality is the issue, Dec 12)

Bagi saya, dia jelas sekali ingin menunjukkan bahawa meskipun dia bertugas untuk sebuah akhbar yang tidak kredibel seperti The Star namun beliau adalah seorang wartawan yang baik - lebih mantap dan lebih berpengalaman - daripada Zakiah.

Pada hemat saya, Jacqueline tidak mempunyai pemahaman yang mendalam tentang persoalan kebebasan media yang sedang menjadi persoalan yang dihadapi masyarakat dan negara kita sekarang ini.

Persoalannya bukanlah persoalan apakah sesebuah akhbar itu boleh mempuyai motif atau tidak. Bukan juga persoalan apakah sesebuah akbar itu boleh mempunyai sesuatu kecenderungan (bias) atau tidak - sebuah akhbar memang sepatutnya mempunyai kecenderungan atau agendanya sendiri.

Soalnya ialah: Apakah halacara atau pendekatan sidang pengarang yang diterapkan oleh sesebuah akhbar itu dalam kerangka dan suasana penindasan media dan manipulasi oleh kerajaan yang berlaku sekarang ini, para wartawan (profesional?) yang masih bertugas dengan akhbar-akhbar tersebut masih dapat mempertahankan kredibiliti mereka, baik dari segi moral mahupun profesional?

Zainuddin Maidin, Wong Chun Wai dan Chamil Wariya tentulah wartawan berbakat. Jika tidak masakan mereka diupah untuk memainkan 'peranan' yang sedang mereka mainkan sekarang. Tetapi dapatkah mereka ini mempertahankan kredibiliti masing-masing sebagai wartawan profesional dalam kerangka peranan keseluruhan akhbar mereka dalam suasana manipulasi media di negara ini?

Dan yang lebih memeranjatkan lagi ialah hakikat bahawa para wartawan yang lebih 'besar' daripada mereka juga - seperti A Samad Ismail dan Mazlan Nordin - kini turut membenarkan diri mereka diperalatkan untuk melaksanakan peranan yang sama seperti para wartawan yang disebutkan di atas itu.

Yang menjadi persoalan kita sekarang bukanlah motif setiap seorang wartawan yang telah meninggalkan profesion tersebut secara individu. Soalnya ialah apakah dalam keadaan sekarang seorang wartawan profesional masih dapat tegak dengan yakin dan berbangga menjadi pendukung professionnya dalam 'estet keempat' itu?

Tepuklah dada tanya selera. Jacqueline tidak perlu menjadi terlalu mudah tersinggung dan memarahi pengkritik - atau membuktikan bahawa sebagai wartawan individu dia lebih hebat daripada si pengkritik itu.

Ibnusani Bain

Kuala Lumpur


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS