Tiada toleransi dalam hal yang berkaitan penggunaan bahasa Melayu kerana ia adalah bahasa kebangsaan dan identiti negara sebagaimana yang disebut dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai rakyat Malaysia, sekali gus seorang menteri seharusnya akur dan tunduk dengan undang-undang ini dengan menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa utama, bahkan wajib digunakan dalam perkara-perkara rasmi seperti di papan tanda iklan perniagaan yang melambangkan identiti negara.
Sepatutnya, seorang menteri perlu mempamerkan keunikan dan perasaan cinta akan bahasa Kebangsaan kepada negara luar, bukannya merendah-rendahkan martabat bahasa Melayu.
Tidak wajar juga seorang menteri membuat kenyataan tentang dasar dan polisi negara berkaitan identiti negara dan bahasa kebangsaan dengan merujuk kepada komen rambang pelancong-pelancong luar negara.
Bahkan sepatutnya perlu mengambil tanggungjawab menerangkan dasar tersebut kepada mereka.
Tiong King Sing juga harus membuat kenyataan yang cerdik, bukan menyalahkan bahasa yang menjadi punca kepada pelancong ‘lari’ dari Malaysia. Tidak ada mana-mana negara di dunia yang pelancongnya lari kerana faktor bahasa ibunda.
Pada masa yang sama, faktor ekonomi dan pasaran perniagaan yang inklusif tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak mematuhi peraturan sedia ada. Sebagai sebuah negara yang berdaulat, bahasa Melayu mesti dilihat sebagai keutamaan mutlak tanpa kompromi.
Impak dan kesan daripada kenyataan yang tidak matang ini menimbulkan tanda tanya sejauh manakah usaha untuk memartabatkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sebagai identiti negara di dalam dan luar negara?
Kerajaan juga harus jelas apakah Dasar Kebudayaan Kebangsaan terkini merujuk kepada identiti nasional yang berteraskan Melayu dan Islam?
Apakah semua orang takut untuk menegur atau berbicara soal ini hanya kerana mahu menjaga hati sesetengah pihak?
Jika begitu, Tiong sebagai menteri pelancongan, seni dan budaya dengan mudah ikut kepala sendiri sahaja tanpa mengendahkan dasar tersebut?
SHUHAIB AR-RUMY SELAMAT ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
