Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat

SURAT | Pihak pengurusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) wajar mengambil tindakan undang-undang terhadap Presiden MCA, Wee Ka Siong, dan tidak harus berdiam diri tatkala dilemparkan dakwaan yang dianggap fitnah.

Kenyataan Wee bahawa "duit KWSP telah hilang dan rugi" dalam transaksi saham Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) tidak bersandar kepada fakta, malah ada kemungkinan ia melibatkan agenda tersembunyi.

Amat pelik apabila melihat MCA - yang merupakan pemegang saham terbesar Star Media Group Bhd (Star Media Group ) dan Matang Bhd - tidak memahami asas pelaburan walaupun kedua-dua syarikat ini tersenarai di Bursa Malaysia.

KWSP telah menjadi pemegang saham MAHB sejak ia disenaraikan pada harga RM2.50 sesaham di Bursa Malaysia pada 30 Nov 1999. Sejak itu, KWSP telah menjual dan membeli kembali saham MAHB untuk menjana keuntungan dagangan (trading profit).

Ini adalah amalan biasa dalam pelaburan saham dan strategi ini turut diguna pakai oleh pelabur institusi lain.

Mengikut data yang digunakan MCA, KWSP telah menjual 163.4 juta saham MAHB pada harga antara RM5.40 dan RM7.36 pada 2023.

Apa yang tidak diceritakan oleh MCA ialah nilai keuntungan yang telah dijana oleh KWSP.

Ada dua jenis keuntungan yang telah dipeoleh KWSP melalui MAHB, iaitu pertama, peningkatan harga saham (capital appreciation), dan dividen sejak 1999.

Cara terbaik raih untung

Data Bloomberg menunjukkan jumlah pulangan (total return) KWSP adalah antara 238 peratus (jika saham dijual pada RM5.40) dan 361 peratus (jika dijual pada RM7.36) andainya dividen dilaburkan semula.

Dalam bahasa mudah, segala kos pelaburan KWSP dalam MAHB telah diraih semula, termasuk melalui dividen. MCA pastinya memahami soal dividen memandangkan mereka penerima manfaat terbesar menerusi dividen lumayan daripada Star Media Group.

Jadi, tidak timbul soal KWSP rugi dalam MAHB setakat ini.

Bagaimana pula pembelian saham MAHB oleh KWSP pada harga RM11 sesaham baru-baru ini selaras dengan penswastaan syarikat tersebut? Sekali lagi, tidak timbul soal kerugian selagi mana saham itu belum dijual.

Perlu diingatkan, penswastaan MAHB dilakukan untuk menambah nilai atau value creation menerusi penambaikkan operasi dan kewangan.

Selepas suatu tempoh tertentu, MAHB dijangka akan disenarai balik di pasaran saham dengan konsortium GDA - yang dianggotai Khazanah Nasional, KWSP, Global Infrastructure Partners (GIP) dan Abu Dhabi Investment Authority (ADIA) - boleh menjual pegangan mereka pada harga dan penilaian (valuation) yang lebih tinggi.

Pemegang saham seperti GIP dan ADIA memerlukan exit strategy dan penyenaraian di pasaran modal adalah cara terbaik untuk meraih keuntungan.

Dengan berlakunya pemulihan nilai MAHB selaras dengan penambaikkan operasi dan kewangan, valuation MAHB juga akan meningkat dan ini membolehkan KWSP menjual sahamnya pada kadar yang lebih tinggi.

Jika MCA mahu mengkritik KWSP dan menuduh KWSP “rugi”, tunggulah sehingga saham itu dijual kelak. Selagi belum jual, KWSP belum rugi.

Mengenai persoalan mengapa KWSP menjual sahamnya pada 2023 dan membelinya kembali untuk melaksanakan penswastaan MAHB, jawapannya mudah sahaja. Malah KWSP sudahpun menerangkannya.

KWSP menetapkan “sempadan” yang ketat antara dua pasukan dalamannya.

Salah satu pasukan itu adalah berkaitan strategi dan mempunyai akses kepada maklumat material yang tidak dikongsi dengan umum, manakala satu lagi pasukan berurusan di pasaran awam.

Pasukan yang berurusan di pasaran awam tidak akan terpengaruh oleh keputusan pasukan strategi dan kaedah ini dapat menghindari insider trading.

Ini penting untuk menjaga pelabur lain, terutamanya pelabur runcit yang sebahagian besar terdiri daripada rakyat Malaysia sendiri.

Justeru Pemuda Amanah memanjangkan tawaran membuka kelas Finance 101 kepada sesiapa yang berminat. Jika sebelum ini kami menawarkan kelas itu kepada Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, kini ia dibuka juga untuk Wee.


AMMAR ATAN ialah Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS