Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Pemilihan PKR bukan untuk watak populis

SURAT | Pemilihan PKR pada tahun ini bukanlah sebuah pemilihan biasa, melainkan satu ujian getir yang menguji ketahanan jiwa dan kesungguhan parti. Seperti kata Friedrich Nietzsche, yang tidak membunuhmu, akan menjadikanmu lebih kuat.

Dalam konteks ini, PKR diuji dengan pelbagai cabaran, namun semakin teguh berdiri, walaupun presidennya, Anwar Ibrahim, kini memikul amanah yang lebih besar sebagai perdana menteri.

Pemilihan ini bukan sekadar soal mengangkat pemimpin, tetapi titik temu bagi menentukan masa depan parti dalam menghadapi liku-liku politik yang penuh cabaran.

PKR pernah diuji dengan pengkhianatan yang mendalam apabila 11 ahli parlimennya, termasuk timbalan presiden, Azmin Ali, mengambil keputusan untuk meninggalkan parti melalui Langkah Sheraton.

Ekoran episod getir itu, PKR teguh untuk tidak berdiam diri tetapi dengan tekad yang membara, memilih untuk bangkit. Dalam tempoh yang penuh ujian ini, PKR mengambil keputusan bijak untuk melaksanakan Pemilihan 2022.

Sebelum gendang PRU diketuk, PKR memilih untuk menyusun kembali kekuatan dan memperbaharui semangatnya yang luntur. Dalam menghadapi tekanan maha hebat dan kekosongan akibat pengkhianatan, PKR bangkit dengan memperkenalkan barisan tokoh muda yang penuh dengan semangat juang dan idea segar.

Pasukan pemimpin yang dibentuk selepas perubahan itu bukan hanya lebih ampuh, bahkan mampu meraih kemenangan yang membanggakan dengan memperoleh 31 kerusi parlimen yang menjadi batu loncatan penting bagi pembentukan Kerajaan Perpaduan yang stabil.

Kekurangan tenaga, semangat

PKR menampilkan keberanian dalam setiap langkahnya, memperjuangkan cita-cita untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil dan maju.

Namun, seperti kata Aristotle, keputusan terbaik ialah keputusan yang timbul daripada pertimbangan yang mendalam.

PKR dengan penuh pertimbangan telah memutuskan untuk mengadakan pemilihan pada tahun ini meskipun wujud cakap-cakap dalam kelambu yang menyebut bahawa ia mungkin ditangguhkan, sama ada sehingga selepas PRU ke-16 atau selepas pindaan perlembagaan parti.

Pandangan tersebut umumnya dilihat sebagai usaha untuk mengurangkan pertembungan politik dalaman, memandangkan PKR kini menduduki posisi sebagai parti pemerintah yang menerajui kerajaan.

Pada waktu yang sama, terdapat desakan yang tidak boleh dinafikan untuk merungkai permasalahan yang melanda parti. PKR tidak boleh terus terbuai dengan kedudukan kuasa yang ada. Kelesuan sebahagian pimpinan - dari peringkat akar umbi hinggalah ke pusat - memberi gambaran bahawa PKR yang baru melintasi usia jubli perak ini sedang menghadapi kekurangan tenaga dan semangat.

PKR perlu bersedia untuk menanggalkan segala belenggu kelemahan yang menghalang perjalanan mereka agar dapat meraih semula kegemilangan yang lebih cemerlang.

Anwar dikhabarkan secara prinsip bersetuju untuk menangguhkan pemilihan pada awalnya. Namun akhirnya dia mengubah fikiran kerana berpendapat PKR berada dalam keadaan lemah dan wujud culture of complacency dalam kalangan pemimpin yang gagal memainkan peranan mengukuhkan parti.

Maka penting untukk mengangkat pimpinan baru kerana mereka yang tepu dan lemah perlu direhatkan untuk membolehkan mereka bermuhasabah atau terus tolol.

Bagi kelompok yang lain - yang selesa - mereka mula berada dalam kegelisahan. Hal itu kerana mereka sebelum ini berada di zon nyaman. Mereka cuba meyakinkan pimpinan untuk menangguhkan pemilihan, namun sejarah tidak akan menunggu.

Seperti kata ahli falsafah Greek, Heraclitus, “Satu-satunya yang kekal adalah perubahan.”

PKR telah melalui pelbagai liku, dan pemimpinnya datang dan pergi, namun satu persoalan yang terus menjadi perdebatan ialah siapa yang akan mengambil alih tampuk kepimpinan selepas Anwar.

Dalam konteks ini, kerusi timbalan presiden ibarat ‘hot seat’ yang penuh dengan cabaran dan harapan. Menjadi timbalan presiden parti pemerintah bererti menyambung legasi besar Anwar. Namun adakah penyandang sedia ada mampu menggalas tanggungjawab besar itu?

Adakah mampu menjadi komander yang teguh bagi parti selepas Anwar?

Untuk gerakkan jentera parti

Itu adalah persoalan mendalam yang harus difikirkan oleh setiap anggota dan penyokong PKR.

Adakah Rafizi Ramli layak untuk terus memegang tampuk timbalan presiden, atau adakah calon lain seperti Saifuddin Nasution Ismail, Amirudin Shari, Nurul Izzah Anwar, atau Aminuddin Harun mampu mengangkat kepimpinan parti dan meneruskan legasi perjuangan parti?

Turut mendapat perhatian ialah posisi naib-naib presiden yang dijangka mendapat sambutan berikutan ramai kini mempunyai kelebihan untuk bertanding seperti Chan Lih Kang, Ramanan Ramakrishnan, Nik Nazmi Nik Ahmad, Shamsul Iskandar Md Akin, Saraswathy Kandasami, Chan Ming Kai, Suparadi Md Nor, Azan Ismail dan Nurin Aina Surip.

Bagi sayap wanita pula, kedudukan Fadhlina Sidek dilihat goyah meskipun mempunyai kelebihan selaku anggota kabinet. Pencabar terdekat yang disebut-sebut ialah Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail, yang sudah tiga kali kalah dalam merebut jawatan ketua wanita.

Satu lagi pencabar terbaru yang disebut-sebut ialah Dr Zaliha Mustafa yang dianggap berwibawa dan lebih dekat dengan akar umbi.

Sayap wanita ketika ini dilihat lemah dan tidak berwibawa meskipun ketua dan timbalannya mempunyai kedudukan yang seharusnya digunakan untuk menggerakkan jentera parti.

Namun, kenyataan ini berbeza dengan realiti apabila pergerakan yang diharapkan tidak terlaksana.

Adam Adli Abdul Halim

Berbeza pula dengan Pemuda PKR (AMK) yang dilihat menjalani transisi kuasa antara Adam Adli Abdul Halim dan Kamil Abdul Munim dalam suasana yang harmoni.

Walaupun pada mulanya AMK melaksanakan pindaan kecil pada peraturan tetap yang dikatakan memberi kelebihan kepada Kamil untuk bertanding, hal ini mendapat tentangan daripada beberapa kelompok, terutamanya pimpinan AMK yang cenderung kepada Rafizi.

Meskipun begitu, pindaan itu berjaya dilaksanakan selepas mendapat undian sokongan tertinggi. Sebanyak 14 negeri secara kolektif menyatakan sokongan untuk mengangkat Kamil sebagai ketua baru AMK.

Ini menunjukkan kematangan politik dalam kalangan AMK yang jelas mahu membawa perubahan positif. Namun sebaliknya, kempen lebih tertumpu kepada siapakah yang akan berada di posisi timbalan ketua dan naib-naib ketuanya.

Nama seperti Dr Taufiq Johari (Ahli Parlimen Sungai Petani), Fahmi Zainol (Exco Pulau Pinang), Izuan Kassim (Adun Kota Damansara), Omar Mokhtar (mantan calon Dun Kota Lama) dan Zakwan Mustafa (pegawai Menteri Dalam Negeri) disebut-sebut untuk merebut posisi sebagai timbalan ketua.

Kebajikan parti dianak tiri

Harus diingat, pasukan PKR yang bertanding pada kali ini mempunyai kekuatan dan pengaruhnya sendiri. Pasukan inilah yang akan mengetuai parti dalam menghadapi PRU ke-16 nanti.

PKR perlu dilihat dominan dalam kerajaan dan muka-muka baru yang bekerja keras serta layak untuk diangkat harus diberi peluang.

Adakah calon-calon ‘wahyu dari langit’ akan berlaku lagi pada kali ini, atau kemenangan diukur dengan kerja para calon yang bertanding?

Kesimpulannya, apakah harapan pada pemilihan kali ini?

Langkah ini bukan sekadar pemilihan kepimpinan biasa, tetapi satu tanggungjawab besar yang akan menentukan arah tuju parti dan negara.

Seperti yang diungkapkan oleh al-Farabi, "kepimpinan yang adil ialah asas bagi kemakmuran masyarakat."

Pemilihan ini akan memastikan barisan pimpinan yang bakal memimpin PKR mampu bekerja dengan sepenuh jiwa raga ke arah pencapaian kemenangan dalam PRU ke-16 agar Anwar dapat terus meneraju negara, membawa visi dan misi negara ke mercu kejayaan.

Ini adalah misi yang penuh cabaran dan memerlukan kebijaksanaan mendalam. Parti ini akan lumpuh dengan pemimpin yang hanya petah berbicara namun tugas hakiki terpinggir dan kebajikan parti dianak tiri.

Pimpinan yang dipilih pada pemilihan kali ini akan menjadi teraju kepada kerajaan yang harus lebih berdaya saing serta progresif, bukan sekadar retorik dan populis. Lebih-lebih lagi, apabila tiada seorang pun wakil belia dalam kabinet, suatu situasi yang harus dipandang serius.

Belia merupakan tunjang utama dalam menentukan masa depan negara.

Kita semua tahu dan perdana menteri sendiri sedar bahawa undi orang muda adalah penentu utama dalam pilihan raya yang akan datang, sebagaimana terbukti dalam PRU lalu.

Pemilihan ini adalah langkah untuk memastikan bahawa kepimpinan negara akan terus berkembang, berinovasi, dan mampu memenuhi harapan generasi masa depan.

Keberanian untuk memberi ruang kepada pemimpin muda yang dinamik adalah kunci kepada kekuatan negara yang lebih gemilang pada masa hadapan.


FADHLI ASHRAF ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS