Tentu kita masih ingat kes tuntutan Pulau Batu Puteh antara Singapura dan Malaysia, isu tuntutan waris Kesultanan Sulu ke atas Sabah dan isu rumah api Pulau Pisang, Pontian, Johor dijaga oleh Singapura.
Ia terkait isu kedaulatan Malaysia dan isu ketamadunan atau kita kenal sebagai Malaysia Madani.
Diakui banyak bahan sejarah dan dokumen penting Malaysia masih berada di luar negara yang perlu didapatkan untuk memelihara kedaulatan negara.
Cuma untuk bawa pulang bahan penting ini bukan percuma dan memerlukan dana kerana terdapat bayaran tertentu untuk mendapatkan gambar yang kadang kala tidak boleh dibuat salinan.
Rekod-rekod tersebut boleh dijadikan bahan bukti untuk mempertahankan sempadan dan wilayah negara.
Kegagalan berbuat demikian memungkinkan Malaysia kehilangan hak melindungi kepentingan itu pada masa hadapan.
Rekod berkenaan termasuk dokumen rasmi dan tidak rasmi seperti fail pentadbiran, laporan dan perjanjian.
Maka menjadi keperluan agar Akta Arkib Negara 2003 (Akta 629) dipinda dengan memasukkan peruntukan penubuhan arkib Yang di-Pertuan Agong dan Penubuhan arkib diraja.
Dengan meminda akta ini, maka secara rasmi dapat memberi kuasa secara perundangan kepada arkib negara untuk mengumpul, mendokumentasi semua rekod diraja yang merupakan warisan sejarah negara kita.
Saya berharap 222 anggota parlimen Dewan rakyat dan senator di Dewan Negara dapat meneliti dan memastikan perkara ini menjadi kenyataan.
MOHD AZLAN MOHD SHARIF merupakan aktivis masyarakat dan pengkaji sejarah.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
