SURAT | Setiap kali menjelangnya Nuzul al-Quran, kita diingatkan tentang turunnya kitab suci yang menjadi panduan hidup umat Islam. Namun, adakah kita benar-benar memahami bahawa al-Quran bukan sekadar untuk Muslim sebaliknya rahmat bagi seluruh alam?
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Anbiya, ayat 107 bermaksud: “Dan tidaklah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam."
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa ajaran Islam tidak hanya tertumpu kepada umat Islam semata-mata, tetapi merangkumi seluruh manusia tanpa mengira bangsa dan agama. Islam mengajar nilai-nilai kasih sayang, keadilan, dan toleransi yang seharusnya diamalkan oleh setiap Muslim dalam kehidupan seharian.
Kebelakangan ini, komen-komen yang cenderung untuk memerangi golongan bukan Islam juga semakin tidak terkawal di laman media sosial. Selain itu, beberapa insiden yang berlaku di negara kita menimbulkan persoalan sejauh mana umat Islam memahami ajaran Islam yang sebenar.
Perbuatan sebegitu amat mengecewakan kerana ia bukan sahaja bercanggah dengan ajaran Islam, malah memberi gambaran buruk terhadap agama yang suci itu. Islam tidak pernah mengajar umatnya untuk melakukan kekerasan dan menghina individu yang berbeza kepercayaan.
Bahkan Islam mengajar kita untuk menampilkan akhlak yang terbaik supaya orang lain melihat keindahan agama ini melalui perlakuan kita.
Belajar dari Rasulullah
Rasulullah SAW adalah contoh terbaik dalam menyebarkan Islam melalui pendekatan kasih sayang. Baginda tidak pernah bertindak kasar walaupun terhadap mereka yang menentangnya.
Antara kisah yang boleh kita ambil pengajaran ialah bagaimana baginda tetap berbuat baik kepada seorang wanita tua Yahudi walaupun dia sering menyakiti utusan Allah itu dengan meletakkan duri di laluan baginda. Apabila wanita itu jatuh sakit, Rasulullah sendiri yang menziarahinya, menyebabkan wanita itu akhirnya memeluk Islam.
Begitu juga dengan peristiwa di Taif apabila baginda dilontar dengan batu oleh penduduk setempat sehingga berdarah. Walaupun malaikat menawarkan diri untuk membinasakan penduduk terbabit, Rasulullah sebaliknya menolak.
Baginda dengan akhlak yang mulia bahkan memilih untuk mendoakan mereka agar mendapat hidayah. Sikap baginda yang penuh belas kasihan ini adalah contoh sebenar ajaran Islam.
Jauhi sikap ekstremisme
Dalam era moden ini, masih ada golongan yang cuba membawa fahaman ekstrem dan radikal yang akhirnya merosakkan perpaduan masyarakat. Sikap seperti itu bukan saja tidak menggambarkan Islam, malah boleh mencetuskan ketegangan antara agama dan kaum.
Sebagai umat Islam, kita perlu berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan ideologi yang menggalakkan kebencian serta keganasan. Islam adalah agama yang sederhana (wasatiyyah), serta menggalakkan keseimbangan dalam segala aspek kehidupan.
Kita seharusnya menjadi contoh terbaik dengan menunjukkan akhlak yang mulia, bukan dengan tindakan yang menakutkan orang lain.
Sempena Nuzul al-Quran ini, marilah kita kembali kepada ajaran sebenar Islam. Kita harus memahami bahawa al-Quran bukan sekadar untuk dibaca, tetapi perlu dihayati dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
Islam bukan agama yang memaksa, sebaliknya ia menyebarkan kasih sayang dan keharmonian.
Jangan biarkan tindakan segelintir pihak yang ekstrem terus mencemarkan imej Islam.
Sebaliknya, jadilah umat yang menyebarkan rahmat dan kebaikan kepada semua, sebagaimana yang diajarkan oleh Rasulullah SAW.
Semoga kita semua diberikan hidayah untuk menjadi Muslim yang lebih memahami dan mengamalkan Islam dengan cara yang betul. Islam bukan tentang kekerasan, tetapi tentang kebaikan dan kasih sayang untuk semua.
FARIS ARIFFIN ialah Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
