Paling Popular
Terkini

SURAT | Kekuasaan adalah seperti air laut - semakin diminum, semakin haus.

Apabila Anwar Ibrahim menyatakan hasrat untuk meminda perlembagaan bagi mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada maksimum 10 tahun, saya fikir hasrat itu bakal menerima sambutan yang baik daripada semua pihak.

Hasrat itu dinyatakan oleh seseorang yang sedang berada di puncak kuasa dan tidak ada tokoh terdekat yang boleh memberi saingan bermakna terhadapnya.

Seandainya saya berada di pihak pembangkang, saya sudah boleh berkira-kira dan mengatur strategi untuk merampas takhta tersebut memandangkan rakyat belum memiliki imiginasi kerajaan Madani selepas Anwar.

Jawatan perdana menteri tidak sepatutnya menjadi milik peribadi seseorang, dan tempoh 10 tahun sepatutnya sudah cukup panjang untuk sesuatu perubahan dilaksanakan pada negara.

Had tempoh itu bukan sahaja memastikan peralihan kepimpinan yang lebih segar tetapi mekanisme semak dan imbang bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.

Kita telah menyaksikan bagaimana pemimpin yang terlalu lama berkuasa cenderung kepada amalan kronisme, korupsi, dan pengukuhan kuasa yang melampau.

Kewujudan had yang dicadangkan itu akan membuka ruang kepada lebih ramai pemimpin muda mendapat peluang lebih untuk mentadbir negara. Sebagai negara yang pernah memiliki perdana menteri tertua di dunia, kita patut sedar akan hakikat ini.

Saya membaca ulasan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, dan gagal memahami logik di sebalik sanggahannya. Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, mengulas dengan menyanggah pandangan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.

Persamaan tulisan Hadi Awang dan Fadhli Shaari ialah mereka berhujah bahawa hasrat mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri tidak akan menjamin kerajaan yang lebih baik.

Abdul Hadi melalui seperti biasa akan melencongkan apa saja isu ke arah model kepimpinan Islam dan kepentingan untuk memilih pemimpin yang beragama. Isu pokok yang sepatutnya perlu Abdul Hadi terangkan ialah bagaimana meletakkan tempoh masa untuk seseorang pemimpin melalui perlembagaan dilarang oleh Islam.

Apakah yang terjadi dalam tulisan Minda Presiden Abdul Hadi itu adalah hujah-hujah yang tidak relevan berasaskan kebencian dia kepada DAP. Hal itu kerana cadangan berkenaan datang daripada kumpulan yang mereka benci.

Keabsahan sesebuah idea bukan datang daripada siapa yang memberikan idea, tetapi bagaimana idea itu dianalisis dan dibedah.

Sekiranya cadangan tersebut "membelakangi hukum Allah", apakah pemimpin PAS semasa era Barisan Alternatif telah membelakangkan tuhan apabila bersetuju menjadikan had jawatan perdana menteri dan ketua negeri dalam salah satu janji manifesto mereka?

Fokus utama Ahmad Fadhli ialah menyanggah kenyataan Syerleena yang mengkritik tulisan Abdul Hadi. Saya tidak rasa Ahmad Fadhli memahami inti utama tulisan Syerleena yang tidak bersetuju dengan tindakan Abdul Hadi yang sering mempergunakan agama sebagai tembok untuk mengatakan apa sahaja.

Malah catatan terbaru Abdul Hadi boleh dianggap berada di luar konteks perbincangan.

Ahmad Fadhli kemudian membawakan hujah bahawa kerajaan-kerajaan yang meletakkan had turut bermasalah dan tidak menjamin tadbir urus yang baik. Ahli Parlimen Pasir Mas itu sepatutnya faham bahawa meletakkan had kepada jawatan perdana menteri memang tidak menjamin tadbir urus yang baik.

Tetapi ketiadaan had tempoh yang jelas boleh membawa kepada ketidakstabilan jangka panjang.

Lihat sahaja negara-negara yang dipimpin oleh tokoh yang berkuasa terlalu lama serta tanpa had yang jelas. Kebanyakan mereka akhirnya bergelut dengan protes rakyat, skandal penyalahgunaan kuasa, dan penghakisan institusi demokrasi.

Apabila meneroka sejarah, Ahmad Fadhli harus lebih seimbang, bukan hanya melihat keburukan idea ini, tetapi turut melihat mengapa ia wajar dipertimbangkan.

Masalah utama idea tersebut pada mata pemimpin PAS bukanlah terletak pada keabsahannya tetapi pada siapa yang menyampaikannya.

Seandainya DAP mencadangkan bahawa tidak ada keperluan untuk perdana menteri meletakkan apa-apa had masa pada jawatan tersebut, sudah tentu mereka juga akan mengatakan bahawa perdana menteri ingin kekal berkuasa selama-lamanya.

Fenomena ini bukan sesuatu yang baru dalam politik Malaysia. Cadangan yang datang daripada blok lawan sering ditolak bukan kerana keabsahan hujahnya tetapi berdasarkan kepada prejudis terhadap pihak yang mengemukakan cadangan.

Akibatnya, wacana yang sepatutnya terfokus pada pembaharuan dasar terhalang oleh permainan politik sempit yang tidak menguntungkan rakyat.

Jika benar PAS menolak idea berkenaan atas dasar prinsip, mereka seharusnya memberikan hujah yang lebih kukuh berdasarkan realiti tadbir urus dan bukan semata-mata kerana ia datang dari musuh politik mereka.


RAHMAN IMUDA ialah seorang penulis dan pemerhati politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS