Most Read
Most Commented
Read more like this

Pendedahan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bahawa ada segelintir pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang telah melakukan penyelewengan berkaitan dengan pemindahan pengundi, adalah sangat serius. Ini adalah suatu isu yang telah lama dibangkitkan oleh banyak pihak.

Oleh yang demikian, tindakan orang awam mempersoalkan kewibawaan SPR dalam mengendalikan pilihanraya adalah berasas.

Alasan bahawa SPR hanya bergantung kepada JPN untuk menguruskan permohonan perpindahan pengundi dan dengan itu melepas tangan untuk bertindak atas aduan pihak pengundi, adalah sangat mengecewakan.

Teras Keupayaan Melayu (TERAS) mempersoalkan kenapa penyelewengan serius ini tidak didedahkan sejurus pengundian dibuat pada piliharanraya 2004 yang lalu. Jika benar ini adalah di luar bidangkuasa SPR, paling tidak ia membersihkan dahulu senarai daftar pemilih yang dikatakan telah berpindah ke kawasan mengundi yang baru tanpa pengetahuan pengundi.

Tidakkah ada peraturan di mana pengundi boleh mengadu dan SPR pula sewajarnya mengambil tindakan?

Implikasi pendedahan bahawa ada penyelewengan di peringkat JPN, menunjukkan bahawa proses pilihanraya selama ini tidak telus dan boleh dipersoalkan.

TERAS tidak dapat menerima alasan SPR bahawa isu ini telahpun diatasi dengan mengurangkan kuasa JPN bagi menguruskan permohonan pengundi untuk berpindah kawasan.

Persoalan pokok ialah pengundi yang telah mengadu tentang permindahan itu sepatutnya berhak mempersoalkan kesahihan proses pengundian dan dengan itu keputusan piliharaya itu sendiri, boleh dipersoalkan. Sebenarnya banyak persoalan penyelewengan dalam pilihanraya di negara ini yang masih tidak mahu diperakui oleh SPR.

Kebebalan pengundi terhadap SPR sudah sampai kemuncaknya sehingga ramai anggota masyarakat mengambil sikap bahawa SPR bukan tempat pengaduan yang berkesan untuk menjamin hak seseorang pengundi.

Sudah banyak isu dikemukakan kepada SPR - seperti kewajaran memansuhkan undi pos, salahguna agensi kerajaan dan premis seperti sekolah semasa berkempen, perbelanjaan melebihi had yang dibenarkan dalam berkempen dan sogokan wang kepada pengundi - sudah menjadi pengetahuan umum.

Namun ternyata SPR hanya memekakkan telinga kerana beranggapan bahawa SPR hanya bertanggungjawab kepada kerajaan yang berkuasa dan bukan sebuah badan yang bebas.

TERAS berpendapat, hanya dengan benar benar membebaskan SPR daripada menjadi alat kerajaan dan bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen, maka barulah kepercayaan masyarakat kepada SPR dapat dipulihkan. Jika tidak, maka adalah sukar untuk memulihkan kewibawaan SPR di mata masyarakat.

Penulis adalah Presiden Teras Keupayaan Melayu (TERAS)

ADS