Most Read
Most Commented
Read more like this

Rakyat Filipina sekali lagi membuktikan kepada dunia bahawa "kuasa rakyat, kuasa keramat". Sejarah "people's power" 1986 berulang lagi apabila ratusan ribu rakyat Filipina keluar berhimpun selama empat malam berturut-turut sehingga berjaya mendesak Presiden Joseph Estrada meletakkan jawatan.

Bekas Presiden Filipina itu didesak oleh rakyat untuk meletakkan jawatan kerana terlibat dengan rasuah dan penyelewengan. Estrada meletakkan jawatan setelah tentera dan polis yang menyokongnya belot dan memberikan sokongan kepada pergerakkan rakyat.

Filipina hari ini dipimpin oleh bekas Naib Presidennya Gloria Arroyo yang baru sahaja selesai mengangkat sumpah di depan ratusan ribu rakyat Filipina di "Tugu Revolusi," tempat bersejarah kejatuhan diktator Marcos 14 tahun lalu.

Perkembangan di Filipina itu telah membuktikan bahawa rakyatlah yang menentukan masa depan negara. Pemimpin yang mengamalkan rasuah seperti Estrada memang patut digulingkan kerana mengkhianati kepercayaan yang diberikan oleh rakyat kepada beliau.

Rakyat Malaysia seharusnya mengambil iktibar daripada perkembangan itu - tidak mustahil untuk menumbangkan seorang pemerintah yang zalim. Rakyat Filipina telah membuktikan bahawa seorang pemimpin boleh ditumbangkan oleh rakyat melalui demonstrasi aman secara besar-besaran.

"Pilihan-jalan-raya" adalah jalan yang terbaik untuk menumbangkan diktator yang zalim di mana-mana negara pun kerana inilah satu-satunya pilihan, khususnya apabila sistem pilihanraya dilihat tidak telus.

Rakyat yang telah sedar tentang keburukan seorang pemimpin tertinggi negara yang mengamalkan kronisme, nepotisme dan rasuah seharusnya berani untuk berhimpun beramai-ramai bagi mendesak beliau melepaskan jawatan.

Semakin lama seseorang diktator tua dibiarkan menerajui kepimpinan negara, maka makin banyaklah harta kekayaan rakyat (negara) yang sepatutnya diagihkan untuk kepentingan orang ramai dirompak dan dikongsi-kongsikan kepada kroni.

Rakyat negara ini yang mahukan perubahan dan reformasi seharusnya belajar daripada sejarah dunia yang telah membuktikan bahawa seorang pemerintah yang mengamalkan sistem pemerintahan diktator hanya dapat dikalahkan dengan kuasa rakyat.

Untuk melakukan sesuatu perubahan, jangan sekali-kali takut untuk mencuba sesuatu yang baru. Cita-cita parti pembangkang untuk mengambil alih kerajaan yang sedia ada pada tahun 2004 hanyalah satu angan-angan kosong.

Ini kerana sejarah Malaysia sendiri telah membuktikan bahawa pilihanraya tidak akan mengubah apa-apa asas kenegaraan. Walau sudah sepuluh kali pilihanraya umum dijalankan, negara ini masih lagi dikuasai oleh parti yang sama.

Namun untuk menggemblengkan kekuatan rakyat seperti di Filipina bukanlah mudah. Pendidikan politik seharusnya diberikan kepada rakyat supaya mereka tahu apa yang harus mereka lakukan untuk menumbangkan sesebuah kerajaan yang zalim.

Aktivis-aktivis reformasi, mahasiswa , badan-badan bukan kerajaan dan mereka yang sedar akan hal ini seharusnya turun bersama rakyat untuk memberikan kefahaman kepada mereka tentang "kuasa rakyat." Golongan siswa, aktivis reformasi dan NGO selalunya tidak mempunyai kepentingan untuk meraih kepentingan politik, berbanding parti-parti.

Tetapi jika aktivis-aktivis reformasi, siswa dan NGO masih lagi tidak melakukan sesuatu, sampai bila-bila pun nasib rakyat tidak akan berubah. Parti-parti politik sama ada pemerintah atau pembangkang sememangnya tidak boleh dipercayai kerana masing-masing mempunyai agenda politik mereka sendiri.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS