SURAT | Masyarakat Islam seharusnya memandang serius kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin Pemuda PAS dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Air Kuning.
Dia dilihat mempersendakan kewajipan haji dengan ucapan tidak bertanggungjawab, kononnya "babi bukan haji".
Kenyataan itu memperlihatkan bagaimana agama diperalatkan secara sempit demi kepentingan politik.
Sangat memalukan apabila ibadah agung seperti haji – yang juga Rukun Islam kelima – direndahkan direndahkan martabatnya demi memperlekehkan lawan politik.
Ini amat jelas dalam ucapan pimpinan tertinggi PAS di pentas ceramah kempen PRK Ayer Kuning dengan cuba mengaitkan kisah perjanjian Hudaibiyah dengan situasi politik tanah air.
Perbuatan itu mencerminkan kerosakan akhlak politik apabila lidah pemimpin digunakan bukan untuk menyeru kepada taqwa, tetapi memperdagangkan agama bagi meraih kuasa.
Kami ingin menegaskan beberapa perkara:
1. Haji adalah kewajipan fardu ain ke atas setiap Muslim yang mampu. Ia bukan suatu pilihan yang boleh ditangguhkan untuk bertanding pilihan raya.
2. Menyamakan ibadah haji dengan isu daging babi sebagai alat kempen adalah satu bentuk penghinaan terhadap syariat dan ilmu.
3. Rakyat tidak mahu menyaksikan agama dipermain-mainkan oleh golongan yang kononnya memperjuangkannya. Kempen sepatutnya menjunjung adab, akhlak dan dasar yang membina, bukan kenyataan murahan yang menjijikkan.
Kami menyeru para pengundi Air Kuning dan umat Islam seluruhnya supaya menolak politik perkauman, penghinaan, dan putar belit agama demi kuasa.
Kembalikan politik kepada maqasid syariah – keadilan, ilmu, maruah, dan maslahat rakyat.
Agama bukan alat kuasa. Politik mesti tunduk kepada akhlak dan kebenaran.
DANIAL AL RASHID HARON AMINAR RASHID ialah Timbalan Ketua Pemuda Amanah Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
