Peningkatan kos sara hidup bukan sekadar angka dalam laporan ekonomi. Ia dirasai setiap hari oleh rakyat biasa di pasar, di warung, di bilik darjah dan di kebun. Maka, apabila kerajaan mengumumkan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula Julai 2025, keresahan dalam kalangan masyarakat adalah sesuatu yang wajar.
Ramai bertanya, apakah ini hanya satu lagi beban baharu yang perlu ditanggung? Namun di sebalik kerisauan tersebut, tersembunyi satu hakikat yang penting: peluasan SST ini tidak semata-mata tentang cukai, tetapi satu langkah ke hadapan untuk merancakkan semula ekonomi rakyat dari bawah.
Dalam sistem percukaian yang adil, bukan semua perlu membayar cukai. Begitu jugalah pendekatan yang diambil oleh kerajaan dalam menyusun semula skop SST. Hanya penyedia perkhidmatan dalam sektor tertentu seperti penyewaan aset komersial, perkhidmatan kecantikan, kewangan dan konsultansi akan dikenakan cukai apabila mencatatkan perolehan tahunan melebihi RM500,000.
Bagi sektor pembinaan pula, ambang lebih tinggi ditetapkan iaitu RM1.5 juta setahun, manakala untuk sektor pendidikan dan kesihatan swasta, hanya yuran atau caj melebihi ambang tertentu yang dikenakan cukai. Ini menunjukkan kerajaan telah mengambil kira saiz dan daya tahan setiap sektor sebelum mengenakan cukai, bagi memastikan hanya perniagaan yang benar-benar stabil dan berkembang diwajibkan mematuhinya.
Peluasan SST ini juga bukan sekadar menambah senarai perkhidmatan bercukai, tetapi memperkenalkan struktur yang lebih tersasar dan seimbang. Dalam sektor pertanian, misalnya, langkah mengenakan cukai ke atas barangan import seperti buah-buahan eksotik dari luar negara memberi kelebihan kepada petani tempatan.
Selama ini, produk tempatan sukar bersaing dari segi harga kerana lambakan produk import yang tidak dikenakan cukai. Dengan struktur baharu ini, petani yang menanam avocado, herba tempatan atau buah-buahan eksotik kini mempunyai peluang untuk memenuhi permintaan pasaran tanpa perlu bersaing dalam keadaan yang berat sebelah.
Bagi rakyat kebanyakan, ini bermakna mereka akan melihat lebih banyak pilihan produk tempatan yang bukan sahaja segar dan berkualiti, tetapi juga pada harga yang lebih berpatutan. Dalam jangka masa panjang, pembangunan sektor pertanian domestik bukan sahaja menjana pendapatan untuk petani, malah mengurangkan kebergantungan negara kepada import makanan adalah satu langkah penting ke arah keselamatan makanan negara.
Peniaga yang sedang membesar juga mempunyai peluang baharu. Perniagaan yang sebelum ini beroperasi secara kecil-kecilan tetapi kini mencatat perolehan lebih tinggi akan digalakkan untuk berdaftar dan beroperasi secara sah. Ini membuka jalan kepada pelbagai sokongan Kerajaan daripada skim pembiayaan, latihan keusahawanan, sehinggalah kepada peluang eksport.
Jadikan peniaga kecil lebih bersedia
Dalam erti kata lain, peluasan SST menjadi pemangkin kepada formalisasi ekonomi, menjadikan peniaga kecil lebih bersedia menyertai arus perdana ekonomi nasional.
Apa yang sering dilupakan dalam perbincangan tentang cukai ialah tujuan akhir kutipan tersebut. Hasil daripada SST tidak masuk ke dalam poket mana-mana individu, tetapi digunakan untuk membiayai pelbagai bentuk subsidi dan bantuan kepada rakyat.
Daripada subsidi minyak masak dan elektrik, pembinaan sekolah dan hospital, sehinggalah kepada program bantuan tunai kepada isi rumah B40, semuanya ditampung oleh hasil negara. Tanpa sistem percukaian yang kukuh, semua ini tidak mungkin dapat diteruskan secara berterusan dan mampan.
Memang tidak dinafikan bahawa sesetengah perkhidmatan seperti pendidikan swasta atau rawatan kesihatan premium kini tertakluk kepada cukai perkhidmatan. Namun kerajaan juga menetapkan garis pengecualian yang jelas.
Yuran pendidikan rendah, perkhidmatan asas kesihatan, dan perumahan kediaman kekal bebas daripada SST. Ini menunjukkan bahawa dasar ini dilaksanakan dengan pertimbangan dan empati terhadap keperluan rakyat terbanyak.
Bagi peniaga pula, perubahan ini mungkin memerlukan sedikit penyesuaian dalam cara mereka menetapkan harga atau menyusun semula perkhidmatan. Tetapi ia juga membuka peluang untuk mereka menambah nilai kepada pelanggan, sama ada melalui pakej perkhidmatan yang lebih tersusun, tawaran langganan, atau perkhidmatan baharu yang lebih kreatif dan berdaya saing.
Dalam suasana ekonomi digital hari ini, inovasi dalam perniagaan menjadi semakin penting, dan dasar percukaian yang jelas serta stabil memberi keyakinan untuk mereka melabur dan berkembang.
Pada akhirnya, dasar fiskal seperti peluasan SST bukan sekadar soal angka dalam belanjawan. Ia adalah cerminan kepada hala tuju negara ke arah sistem ekonomi yang lebih adil, lebih tersusun dan lebih mampan.
Dalam dunia yang semakin mencabar ini, kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada pinjaman atau hasil petroleum. Kita memerlukan struktur hasil negara yang boleh menyokong kebajikan rakyat secara berterusan, tanpa membebankan golongan paling rentan.
Memahami kebimbangan rakyat adalah penting. Namun memahami tujuan dan peluang yang datang bersama dasar ini juga tidak kurang pentingnya.
Jika dilaksanakan dengan baik, dan disertai dengan penguatkuasaan yang telus serta sokongan kepada perniagaan kecil, peluasan SST ini berpotensi menjadi titik tolak kepada ekonomi yang lebih saksama, di mana petani tidak lagi ketinggalan, peniaga kecil dapat naik kelas, dan rakyat biasa tidak hanya menjadi penonton kepada kemakmuran negara.
AHMAD RIDHUAN ALAUDDIN adalah ketua biro ekonomi, Pertubuhan Demokrat Sosial (Demuda), jaringan orang muda bagi mencapai cita-cita membina negara bangsa berteraskan kebebasan, keadilan dan solidariti.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
