Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sudah menjadi semacam kudis yang membusung penyakit berat sebelah yang dihadapi oleh media perdana bila membuat liputan peristiwa yang tidak memihak kepada Umno dan kerajaan Barisan Nasional. Menyalahkan pihak wartawan dan media semata-mata, yang terpaksa berbohong bila kaki dan tangan mereka diikat, juga sesuatu yang tidak adil.

Tangan-tangan yang jahat menggantikan tangan mereka serta perbuatan yang menyebabkan mereka seperti dipasung, amatlah tidak wajar serta mengharukan. Demi meneruskan pencarian rezeki dan mengharapkan bonus yang terpaksa ditagih setelah perut terikat dengan naiknya harga barangan keperluan harian, maka mereka meneruskan agenda pihak yang bukan setakat menguasai muka hadapan, bahkan muka belakang akhbar!

Dalam perhimpunan agung Umno yang seolah-olah menjadi pentas menonjolkan kejaguhan perwakilan dengan skrip yang seakan-akan semuanya telah bersusun dan tersusun, rakyat dihidangkan dengan liputan besar-besaran yang tidak dinikmati oleh parti-parti lain.

Adilkah? Manakala pelengkapnya adalah ucapan yang dikatakan berapi-api dan terbaik dari seorang presiden, yang pada hakikatnya dikenali cukup lemah dan lesu dalam menjalankan tugasnya. Namun cubaan menutup kelemahan dengan ucapan 'saya pantang dicabar' nampaknya hanya memakan tuan. Sekali lagi beliau dimalukan apabila penganjur perhimpunan Bersih berjaya meneruskan program dengan aman. Syabas!

Sebuah perhimpunan menuntut pilihanraya bersih hanya dinilai dari 'surface value' atau nilai luaran oleh beliau atas nasihat orang di sekelilingnya. Islam dengan cermat sekali mengajar umatnya agar jangan melihat apa orang yang membawa tetapi lihatlah apa yang dibawa. Pepatah Inggeris, 'dont judge the book by its cover' juga tidak menjadi panduan beliau.

Perdana Menteri yang bertanggungjawab ke atas semua rakyat, lupa bahawa tuntutan Bersih adalah supaya kita semua melalui sebuah pilihanraya yang adil. Pihak yang menganjurkan himpunan Bersih sedikitpun tidak menolak pilihanraya. Penolakan mesej perhimpunan dengan beralasan sedemikian, hanya menyerlahkan lagi tahap dan mentaliti Pak Turut yang ada pada seorang perdana menteri.

Sanggahan seorang menteri penerangan yang berotakkan fahaman demokrasi sempit serta tidak memahami persoalan yang diajukan, memburukkan lagi rupa kudis yang semakin bernanah. Siapa yang patut gelakkan siapa? Ingatlah wahai menteri penerangan, kudis yang membusung akan pecah pada suatu hari nanti. Kemualannya lebih dirasai kiranya semakin banyak 'volume' yang keluar, yang bercampur dengan darah busuk dari hasil yang kotor dan tidak suci.

Apa-apa pun, sekalung tahniah kepada semua yang menganjur dan menyertai himpunan rakyat menuntut hak mereka dan hak semua lapisan masyarakat. Ini termasuklah pihak yang diberi tanggungjawab menjaga keamanan serta pihak yang hanya melaporkan apa yang diarahkan untuk dilaporkan. Tahniah pada semua. Dengan sekatan, dengan laporan yang tidak ada adil sekalipun, bisa yang terasa oleh pihak yang membusungkan kudis itu, turut dirasai oleh mereka sendiri.

ADS