Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kebelakangan ini kerajaan sentiasa mewarwarkan bahawa pelabur-pelabur asing rancak mencurahkan wang ke dalam ekonomi Malaysia. Kerajaan pula melancarkan koridor-koridor pembangunan bermula dengan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI). Tidak kurang juga yang digembar-gemburkan dengan berita wang Arab yang dikatakan semakin hari semakin mencurah ke dalam koridor-koridor pembangunan.

Justeru, adalah mengejutkan apabila Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mendedahkan di perhimpunan agung Umno baru-baru ini bahawa ada segelintir syarikat swasta negara yang memandang dingin iklim pelaburan di negara ini, kurang yakin dengan peluang pelaburan di negara sendiri sehinggakan ada di antara mereka yang sanggup membawa keluar modal ke luar negara, padahal pelabur dari Asia Barat cukup yakin dengan WPI.

Beliau membidas syarikat-syarikat swasta yang tidak berminat mengusahakan dan membangunkan koridor-koridor pembangunan ekonomi tetapi sebaliknya sanggup melabur di luar negara. Tidak kurang juga syarikat swasta yang menarik diri daripada Bursa Malaysia dan membawa keluar modal untuk dilaburkan di negara lain.

Contohnya, ada syarikat swasta yang membawa keluar modal untuk dilaburkan dalam industri hiburan di luar negara. Apakah syarikat yang dimaksudkan ini adalah Genting Berhad yang pada masa ini begitu liat membuat pelaburan berbilion-bilion di Singapura dalam sektor pusat peranginan pelancongan dan kasino dalam menjayakan impian Singapura menjadi negara tumpuan pelancongan dan riadah, mesyuarat dan kasino perjudian yang terulung di Asia.

Dalam era globilasasi, kebanyakan negara sedang berlumba-lumba untuk menarik para pelabur. Justeru, tidaklah menghairankan jika sesebuah syarikat berkeupayaan juga cuba mengembangkan sayap perniagaannya di mana-mana negara yang boleh memberi pulangan maksimum tanpa dihantui dan dibelengu dengan pelbagai dasar dan karenah kerajaan. Ini lumrah adab berniaga. Itulah yang dicari oleh pelabur dan para peniaga.

Saya percaya, daripada kita membidas syarikat-syarikat tempatan yang membawa keluar modal dan giat melabur di luar negara, lebih eloklah kiranya kita merisik alasan mereka berbuat demikian. Jangan jadikan wang Arab yang masuk sebagai kayu ukuran iklim perniagaan negara. Pada masa ini, dunia Arab dipandang serong oleh negara-negara barat.

Pelaburan mereka kurang disenangi dan menghadapi pelbagai halangan dan rintangan di dunia Barat. Justeru, Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang maju, meraih tuah memasuki radar perniagaan mereka dan memberi satu destinasi dan pilihan selamat bagi wang Arab.

WPI sudahpun berusia hampir setahun. Persoalannya ialah berapa banyak wang yang benar-benar telah dilaburkan di WPI oleh pelabur Asia Barat ataupun apakah yang ditunjukkan pelabur Asia Barat adalah sekadar minat ingin melabur dan janji untuk melabur di WPI. Mungkinkah lebih sudu dari kuah?

Berbalik kepada soalan pokok, adalah wajar untuk kerajaan mendapat tahu alasan sebenar mengapa syarikat swasta membawa modal ke luar negara dan agak dingin membuat pelaburan di negara ini dan lebih-lebih lagi di koridor-koridor pembangunan yang dilancarkan.

Apakah sebabnya? Mungkinkah kerana politik semasa negara, mungkinkah kerana sistem undang-undang dan kepolisian, mungkinkah kerana kadar korupsi, mungkinkah kerana sistem pelajaran dan penguasaan bahasa Inggeris, mungkinkah kerana dasar-dasar kerajaan, mungkinkah kerana karenah birokrasi, mungkinkah kerana Malaysia sudah condong dan jadi paksi Asia Barat, mungkinkah pengisytiharan Malaysia sebagai negara Islam.

Kemungkinannya banyak tetapi hakikatnya ialah kebanyakan isu-isu ini telah mengeruhkan suasana politik dan iklim perniagaan negara ini.

Daripada membidas, lebih baik kita ambil tahu apa yang membuat syarikat swasta tempatan gelisah dan rimas serta tidak yakin lagi dengan iklim pelaburan di negara sendiri dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya yang boleh meyakinkan pelabur tempatan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS