Saya memandang serius desakan ketua-ketua bahagian Umno yang mahukan Perdana Menteri Anwar Ibrahim melaksanakan titah adendum terhadap Najib Razak.
Tindakan ini boleh mewujudkan ketidakstabilan politik sedangkan kerajaan berada dalam keadaan yang baik dan stabil serta sedang memacu ekonomi ke arah pengukuhan.
Adalah rugi jika kerajaan ini kembali menjadi tidak stabil hanya kerana satu desakan yang tidak wajar.
Desakan ini ibarat menggesa perdana menteri untuk mencampuri urusan mahkamah kerana kewujudan titah adendum ini masih dalam perbicaraan di Mahkamah Persekutuan.

Perdana menteri tidak seharusnya didesak untuk melaksanakan demikian kerana pendirian kerajaan ini jelas memisahkan kuasa antara badan perundangan, eksekutif dan kehakiman.
Sama ada titah adendum ini wujud secara berpelembagaan atau tidak, semua pihak wajar menunggu sehingga keputusan akhir Mahkamah Persekutuan.

Saya yakin sejurus keputusan rasmi diperoleh, kerajaan akan bertindak sewajarnya berdasarkan undang-undang.
Justeru itu saya meminta kepimpinan Umno untuk memainkan peranan meredakan desakan ini untuk mengelakkan sebarang ketidakstabilan politik.
SYED BADLI SHAH SYED OSMAN adalah ketua PKR cabang Titiwangsa serta mantan naib ketua Pemuda PKR (AMK).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
