Most Read
Most Commented
Read more like this

Kalau kita mengikuti perkembangan semasa yang berlaku di Malaysia, sesungguhnya kita tidak dapat lari dari melihat keadaan yang mengambarkan kontradiksi. Dua ruang yang berbeza dalam satu keadaan.

Kerajaan Malaysia menghabiskan berbillion wang rakyat untuk meng'hidup'kan Multimedia Super Corridor dengan membina prasana tercanggih di Putrajaya dan Cyberjaya; pelaburan dalam bentuk perkakasan yang cuba menampilkan Malaysia sebagai sebuah negara maju bersama wawasan 2020 dengan mewujudkan penerokaan dalam bidang IT.

Kerajaan Malaysia juga dalam masa yang sama menghabiskan sebahagian tenaga kakitangan awamnya (dan tentunya perbelanjaan) untuk menganjak ke belakang dengan mengetatkan pelbagai peraturan penerbitan yang 'kritikal dengan kerajaan'.

Umpamanya, keputusan menghalang malaysiakini daripada menghadiri acara rasmi kerajaan dengan pelbagai alasan primitif dan kuno, mengharamkan akhbar Eksklusif , majalah Detik dan Al-Wasilah serta menangkap penjual VCD reformasi dengan pelbagai akta drakonian.

Kerajaan Malaysia juga menghabiskan jutaan wang rakyat di atas misi perdagangan ke luar negara. Tahun demi tahun, menteri yang sama dengan barisan pegawai yang sama menjelajah dunia sebagai jurujual. Tidak termasuk pelbagai agensi dan kerajaan negeri yang berseronok-seronok mempromosi 'produk' masing-masing.

Kerajaan Malaysia di waktu yang sama mengabiskan berbillion wang rakyat di atas nama 'willing buyer willing seller' untuk mem'bail out' projek-projek penswastaan yang pernah dicanang-canangkan sebagai progresif dan menguntungkan negara. Malah yang terbaru, ironinya, menghalang sebuah bank dari mem'bail out' diri sendiri dari Danamodal!

Kerajaan Malaysia yang masih dipimpin oleh orang yang sama sejak 20 tahun dahulu turut memperkatakan dengan lantang tentang ketuanan dan hak-hak istimewa Melayu yang dikatakan terancam dan akan kepupusan. Seperti 'endangered species' dengan melaung-laungkan "Tak Akan Melayu Hilang Di Dunia' sebagai slogan semangat yang keramat seolah-olah dunia mahu kiamat.

Kerajaan Malaysia yang juga dipimpin oleh orang yang sama dan terus mahu berkuasa 20 tahun lagi dengan penuh sengaja membiarkan media massa perdana seperti televisyen yang di bawah 'remote control'nya menguburkan budaya tempatan. Contoh terbaik, siaran sempena hari raya dipenuhi dengan 'ancaman kuasa asing' seperti Bollywood dan Hong Kong. Itu tidak termasuk e-Village yang mahu menjadi pusat budaya import dan eksport sejagat.

Mungkin contoh sedikit dari banyak kontradiksi 'mega' ini mengambarkan wajah Malaysia di bawah kerajaan sekarang memerlukan satu reformasi ke akar umbi terutamanya dengan memencenkan pemimpin nombor satu yang maksum dari segala kesalahan!


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS