SURAT | Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, dalam reaksinya terhadap himpunan Turun Anwar menuduh ia bersifat menanamkan kebencian.
Namun hakikat yang jelas, himpunan berkenaan bukanlah manifestasi kebencian terhadap peribadi tetapi suatu isyarat tegas daripada rakyat Malaysia berbilang kaum terhadap kegagalan Anwar sebagai perdana menteri dalam aspek ekonomi, keadilan sosial, dasar rakyat dan janji reformasi yang dikhianati.
Label “kebencian” adalah retorik lapuk yang sering digunakan oleh pemerintah apabila mereka gagal menjawab hujah rakyat dengan fakta.
Hakikatnya, himpunan Turun Anwar ialah medan demokrasi aman untuk rakyat menyuarakan bantahan secara sah, tertib dan bertamadun.
Ia adalah tindak balas terhadap keangkuhan kuasa, bukan kerana kebencian tetapi tanggungjawab moral rakyat yang semakin hilang kepercayaan terhadap pemimpin negara.
Lebih ironi, Anwar yang suatu masa dahulu menjuarai siri himpunan reformasi jalanan kini tidak boleh menerima realiti apabila rakyat menggunakan saluran yang sama untuk mendesak dia turun.
Dulu himpunan adalah suara rakyat. Kini, apabila terkena batang hidung sendiri, himpunan pula dituduh menyemai kebencian.
Kehadiran ribuan anak muda, NGO, aktivis dan rakyat biasa dalam himpunan tersebut membuktikan betapa besar gelombang kekecewaan yang sedang membuak-buak.
Rakyat marah bukan kerana mereka benci Anwar secara peribadi sebaliknya sudah hilang harapan terhadap kepimpinan yang hanya pandai beretorik tetapi gagal membela nasib rakyat terbanyak.
Maka, seruan “Turun Anwar” bukanlah simbol kebencian tetapi suara rakyat yang mahu perubahan sebenar, bukan janji palsu dan sandiwara politik yang menipu harapan jutaan rakyat Malaysia.
N BALASUBRAMANIAM ialah Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
