SURAT | Baru-baru ini caj perkhidmatan air di negeri-negeri Semenanjung Malaysia diumumkan dan kita menyaksikan Perlis mengalami kenaikan tertinggi iaitu sebanyak RM1.60.
Ia menjadikan bayaran minimum untuk khidmat bekalan air di negeri itu bertambah daripada RM7.20 kepada RM8.80 bagi setiap pelanggan.
Kebetulan seminggu sebelumnya, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, memberikan komen sinis terhadap pengumuman penurunan harga minyak sebanyak 6 sen oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dalam kenyataannya yang dipetik media, Mohd Shukri, berkata penurunan itu hanya akan kelihatan menarik jika bernilai 60 sen.
Dia mungkin tidak menyedari bahawa kadar sebenar harga minyak RON95 di Malaysia ialah sekitar RM2.50 seliter.
Maksudnya, jumlah subsidi sebenar yang ditanggung kerajaan ialah sekitar 50 sen.
Namun, Mohd Shukri pasti sedar bahawa kadar air tidak berhasil (non-revenue water atau NRW) di Perlis masih menjadi paling tinggi di Malaysia.
Berdasarkan data umum yang ada, jumlah NRW di Perlis berada pada tahap 61.5 peratus pada 2022 dan meningkat kepada 62.0 peratus pada tahun lalu.
Kerajaan Persekutuan telah memberikan komitmen menyalurkan geran sebanyak RM436.5 juta kepada kerajaan Perlis untuk menurunkan kadar NRW kepada 35 peratus sehingga 2029.
Berapa banyakkah wang yang telah dibelanjakan untuk tujuan tersebut pada tahun ini?
Berapa peratuskah penurunan NRW disasarkan kerajaan Perlis pada tahun ini?
Jika Mohd Shukri membayangkan penurunan 60 sen harga minyak barulah “menarik”, dia mesti menjelaskan apakah yang menariknya dengan kenaikan tarif air sebanyak RM1.60 bagi setiap meter padu di Perlis.
Rakyat Perlis mahukan penyelesaian kepada masalah perkhidmatan air di negeri tersebut. Apakah jaminan Mohd Shukri untuk menyelesaikan masalah rakyat dalam tempoh baki penggal pentadbiran yang ada?
NOOR AMIN AHMAD ialah Pengerusi PH Perlis merangkap Pengerusi PKR Perlis.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
