Gerakan Ekonomi Malaysia (GEM) mengambil maklum kenyataan rasmi Tabung Haji (TH) yang menafikan dakwaan projek penjenamaan semula bernilai RM20 juta, sebaliknya menyatakan kos sebenar adalah RM2 juta setahun untuk tempoh tiga tahun.
GEM juga mengambil maklum kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, bahawa penjelasan akan diberikan di Parlimen.
Namun, GEM menegaskan bahawa penafian angka sahaja tidak mencukupi untuk menghapuskan keresahan rakyat.
Isu ini jauh melangkaui soal jumlah wang. Ia menyentuh soal amanah, keberkatan, proses perolehan, serta siapa yang menerima manfaat daripada kontrak tersebut.
GEM menegaskan tiga perkara utama:
Keutamaan yang tersasar walaupun kos dinyatakan RM2 juta setahun, jumlah tersebut tetap besar jika dibandingkan dengan tekanan kos haji semasa dan subsidi lebih RM261 juta yang ditanggung. Dana umat Islam sepatutnya ditumpukan untuk meringankan beban jemaah, bukannya kepada penjenamaan kosmetik yang tidak memberi kesan langsung kepada ibadah haji.
Ketelusan dan perolehan kontrak Tabung Haji masih gagal menjawab persoalan utama iaitu apakah proses perolehan yang digunakan, syarikat mana yang mendapat kontrak, dan adakah kontrak itu diberi melalui tender terbuka serta selaras dengan Akta Tabung Haji 1995 dan pekeliling perbendaharaan. Tanpa jawapan ini, rakyat akan terus mempersoalkan integriti pengurusan dana umat.
Keberkatan dan ekosistem ekonomi Muslim. Laporan bahawa kontrak ini melibatkan syarikat-syarikat bukan Islam menimbulkan tanda tanya besar. Sebagai institusi umat, Tabung Haji sepatutnya mengutamakan syarikat Islam dan bumiputera yang terbukti berkelayakan. Dana umat Islam mesti mengalir dalam ekosistem ekonomi Muslim bagi menjamin keberkatan dan keyakinan pendeposit.
GEM menuntut kerajaan dan menteri agama segera:
Mendedahkan butiran penuh kontrak – termasuk nilai sebenar, syarikat penerima, proses penilaian tender, dan justifikasi pemilihan.
Mengadakan audit bebas terhadap projek ini, dengan laporan didedahkan kepada umum.
Menetapkan dasar jelas bahawa semua kontrak besar Tabung Haji mesti diberikan keutamaan kepada syarikat Islam dan bumiputera.
Memastikan pertanggungjawaban politik – Menteri Agama mesti menjawab secara terus di Parlimen dan tidak boleh bersembunyi di sebalik penafian angka oleh Tabung Haji semata-mata.
Penjelasan Tabung Haji bahawa kos hanya RM2 juta setahun tidak menutup persoalan asas yang dibangkitkan rakyat. Isu sebenar ialah amanah dan keberkatan dana umat.
GEM menegaskan bahawa menteri agama dan kerajaan Madani wajib dipertanggungjawabkan untuk memastikan pengurusan Tabung Haji benar-benar telus, berintegriti dan berpaksikan kepentingan umat Islam.
ARMIN BANIAZ PAHAMIN ialah presiden Gerakan Ekonomi Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
