Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Exco tak serius bangunkan pekan Rantau Panjang

SURAT | Azam Kelantan meneliti rakaman temu bual Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kelantan, Kamaruddin Md Nor, yang menyatakan bahawa bukan tugasan kerajaan negeri untuk menghidupkan aktiviti pelancongan.

Sebaliknya kata Kamaruddin, ia perlu dilakukan oleh pihak swasta.

Dalam konteks ini, dia menjawab pertanyaan wartawan tentang suramnya pekan Rantau Panjang yang sepatutnya menjadi gerbang pelancongan sempadan Malaysia - Thailand.

Tambah Kamaruddin, kerajaan Kelantan hanya berfungsi sebagai pengawal selia peraturan, dan menegaskan bukan fungsi mereka untuk terlibat dalam 'penjualan' sektor pelancongan negeri.

Kenyataan itu pada umumnya membuktikan kerajaan negeri tidak serius menjadikan kegiatan pelancongan sebagai sumber pendapatan Kelantan, khususnya dalam konteks Rantau Panjang sebagai gerbang ke Malaysia melalui sempadan di Sungai Golok.

Menghidupkan pekan Rantau Panjang bukan sekadar menghidupkan kedai atau gerai sekitarnya, tetapi melibatkan pelan pembangunan yang perlu dicadangkan serta digerakkan oleh kerajaan negeri sendiri.

Contohnya sebagai esco pelancongan, Kamaruddin boleh mencadangkan pengendali pengangkutan awam di Kelantan meningkatkan jumlah kekerapan bas ke sana.

Selain itu boleh dirancang aktiviti karnival, serta kegiatan melibatkan pelancongan ke destinasi buatan manusia (man-made destination) bagi menarik warga tempatan serta luar merancakkan kembali pekan Rantau Panjang.

Sekiranya Kamaruddin masih berpendirian seperti yang dia lafazkan, sudah tiba masanya untuk kepimpinan tertinggi kerajaan Kelantan menilai semula individu yang menduduki kerusi exco pelancongan.

Penilaian semula itu wajar agar posisi tersebut boleh diisi oleh orang yang mempunyai tekad politik jelas mahu membangunkan pelancongan sebagai sumber pendapatan Kelantan yang kita cintai ini.


NIZAM MUHAMAD ialah penyelaras NGO Azam Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS