Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
Lagi berita dari pengarang

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), melalui presidennya Yusri Mahmud semalam menggesa rakyat pelbagai kaum agar bertenang dan juga merayu masyarakat Islam agar tidak mencetuskan sebarang reaksi yang tidak wajar atas penggunaan kata kata seperti "pembersihan kaum", "penjajahan kekal", "extremis Islam" dan "geng Melayu" dalam memorandum Barisan Bertindak Hak Hindu (Hindraf). Abim menganggap kesemua perkataan itu berunsur hasutan dan berbau subversif.

Saya bukan seorang chauvanis, malahan bukan ahli ataupun penyokong Hindraf. Saya berpegang kepada prinsip bahawa kita boleh menyuarakan apa-apa isu secara beradab, tanpa menyinggung perasaan mana mana pihak. Dalam menuding jari terhadap Hindraf, Abim seolah-olah sengaja melupa perhimpunan agung Umno 2006. Masih ingatkah bagaimana perwakilan Umno, secara terbuka, melemparkan pelbagai cemuhan, amaran dan menggayakan aksi-aksi provokasi dan mencabar kaum bukan Melayu?

Gelagat dan ucapan para perwakilan tersebut jauh lebih subversif dan menghasut berbanding dengan apa yang dilakukan oleh Hindraf. Malahan ucapan dan aksi perwakilan ini mendapat sorakan, tepukan gemuruh dan restu dari mereka yang hadir.

Namun Abim tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan mengecam tindakan para perwakilan yang melemparkan kata-kata hasutan itu. Tidak pula Abim meminta maaf kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum atas provokasi yang ditunjukkan oleh perwakilan Umno mahupun berasa malu atas tindakan mereka.

Pelik bin ganjil, Abim tidak menganggap ucapan perwakilan yang bersifat subversif dan hasutan boleh mencetuskan huru hara. Tindakan Abim mendiam diri seolah olah menunjukkan bahawa Abim setuju dengan cakap celaru para perwakilan tersebut.

Abim juga tidak hilang perasaan. Pelik bin ganjil Abim, yang tidak terkilan dengan kata-kata hasutan para perwakilan Umno sebaliknya terguris dengan tindakan Hindraf. Oleh yang demikian, munasabahlah apabila saya bertanya apa muslihat Abim meloncat masuk gelanggang dan mengapi-apaikan isu Hindraf ini sehingga menggesa rakyat supaya bertenang.

Persoalannya, siapa yang tidak bertenang? Mungkin Abim, kot?

ADS