Paling Popular
Terkini

Setiap tahun, sekitar bulan Oktober hingga November, Parlimen Malaysia akan tiba musim kemuncak (peak season).

Ahli parlimen berdebat, bergaduh, bertengkar dan lazimnya terjadi, mengeluarkan perkataan-perkataan yang tidak sesuai digunakan dalam dewan yang mulia itu.

Belum kita ambil kira semua penyokong parti-parti politik. Rancak berborak di kedai kopi, berdebat hingga lupa dunia di media sosial dan sibuk mencari apa yang mereka terima.

Apa pemula (catalyst) musim kemuncak Parlimen Malaysia ini?

Jawapan mudah, duit negara ataupun lebih dikenali sebagai belanjawan negara.

Belanjawan negara ini bermaksud anggaran hasil yang akan terima dan anggaran perbelanjaan yang akan digunakan. Dua-dua ini kerajaan perlu bentangkan ke dalam parlimen supaya dapat diperincikan dan dapat disemak imbang.

Senang kata, kerajaan perlu beritahu berapa revenue (hasil) yang kita akan terima dan kerajaan akan guna revenue itu untuk apa.

Tolak tepi perbalahan politik dan tolak tepi perbezaan pendapat. Sebagai rakyat biasa, kita perlu tahu apa kesan Belanjawan Negara ini kepada kehidupan seharian kita.

Cukai, cukai dan cukai

Dalam setiap pembentangan belanjawan negara, kerajaan akan bentangkan dan terangkan apa jenis cukai yang rakyat Malaysia perlu bayar.

Contoh cukai-cukai yang ada ialah cukai jualan dan perkhidmatan (ataupun Sales and Services Tax - SST), cukai barangan mewah (Luxury Goods Tax), cukai pendapatan (Income Tax) dan macam macam lagi.

Majoriti hasil yang diterima oleh kerajaan, akan diterima daripada kutipan cukai. Inilah revenue yang dimaksudkan.

Jika kerajaan hendak terima hasil yang lebih banyak maka cukai kita perlu jadi lebih tinggi.

Tapi, sebuah kerajaan yang bertanggungjawab akan cuba imbangkan tarif cukai yang perlu dibayar dengan beban yang perlu ditanggung oleh rakyat.

Jadi, ia menjadi satu perkiraan yang rumit dan kerajaan kena berani buat keputusan yang sukar untuk masa depan negara.

Bantuan, bantuan dan bantuan

Sudah terima hasil, jadi kerajaan perlu pilih cara yang terbaik untuk salurkan duit itu semula kepada rakyat.

Apa cara yang paling popular untuk buat? Beri bantuan terus kepada rakyat melalui cash handouts.

Tidak kira Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang kemudiannya dijenamakan semula sebagai Bantuan Sara Hidup (BSH) yang kemudiannya dijenamakan semula kepada Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan kemudiannya, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan versi terbaharu iaitu Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Prinsipnya sama tetapi jenama sahaja yang berbeza dan bertukar mengikut kehendak parti politik pemerintah.

Grafik fail pembentangan belanjawan 2025.

Cash handouts ini bukanlah satu-satunya jenis bantuan yang kerajaan beri tetapi kita tidak boleh nafikan yang inilah cara yang paling cepat untuk menaikkan populariti sesebuah kerajaan.

Lagi tinggi jumlah cash handouts yang rakyat terima, lagi tinggi tahap populariti kerajaan tersebut.

Sebab itu sehingga kini, rakyat Malaysia masih ingat zaman Najib Razak. Orang masih ingat jumlah BR1M yang mereka terima sehingga ke hari ini.

Projek, projek dan projek

Selain daripada beri cash handouts, kaedah yang paling senang dilihat untuk kerajaan belanjakan duit ialah menerusi projek-projek mega yang dijalankan.

Contoh projek-projek mega? Pembinaan Pan-Borneo Highway, Johor Bahru-Singapore Rapid Transit System (RTS), East Coast Rail Link (ECRL) dan macam macam lagi.

Jumlah perbelanjaan yang digunakan boleh cecah berbilion ringgit. Masa yang diambil untuk projek siap pun boleh sampai bertahun-tahun.

Kesan baik kepada rakyat? Pembangunan lebih pesat di semua tempat, rakyat ada lebih banyak peluang pekerjaan di tempat yang baru, perjalanan menjadi lebih selesa dan selamat serta macam-macam lagi.

Sebab itu, projek pembangunan negara ini tetap akan berlaku tidak kira siapa kerajaan pada masa itu. Ianya bukan kerana menteri-menteri dan ahli-ahli politik semua nak buat gimik potong reben ataupun majlis pecah tanah demi konten sosial media mereka.

Semua ini demi kepentingan negara dan rakyat Malaysia.

Belanjawan negara ini merupakan salah satu dokumen yang terpenting bagi Malaysia.

Sebagai rakyat Malaysia, kita kena tahu dan peka tentang belanjawan negara ini.

Kenapa? Sebab itu semua duit rakyat. Itu duit cukai yang kita bayar kepada kerajaan.

Kerajaan hanyalah penjaga sementara duit rakyat ketika mereka mentadbir negara.

Kerajaan tidak boleh lupa yang mereka ada akauntabiliti terhadap rakyat Malaysia.

Kerajaan tidak boleh lupa yang semua rakyat Malaysia berhak untuk tanya "duit kami pergi mana?"

Kerajaan tidak boleh lupa yang kuasa sebenar adalah di tangan rakyat.

Jika rakyat tidak puas hati dengan cara kamu mentadbir negara, rakyat boleh turunkan kamu dari takhta kuasa.


ADAM AZRAI MAZLI Pegawai Khas kepada Adun Puteri Wangsa dan Pemangku Presiden Muda Amira Aisya.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS