Most Read
Most Commented
Read more like this

Persoalan bahasa Melayu terus menjadi isu sepanjang zaman, tidak akan hilang selagi 'Tak akan hilang Melayu di dunia'. Bahasa jiwa bangsa tetapi bangsa juga perosak bahasa.

Melihat ke hadapan sebelum dan selepas 2020, bahasa Melayu akan terus dalam dilema. Dilema yang akan diperkatakan, dikertaskerjakan, diulas dan diapi-apikan dalam seminar, media alternatif dan perdana, dialog, konvesyen, demonstrasi (halal atau haram) ke persidangan parlimen.

Seperti mana isu lain dari dahulu dan sekarang, tiada penyelesaian yang dapat memberikan keputusan yang menyeluruh. Malah, seakan menjadi isu bermusim, kitar semula dan tebusguna. Semua jari akan terus menuding ke sana-sini, kecuali batang tubuh sendiri dalam memberikan alasan, kalau tidak penuduhan terhadap salah siapa.

Hakikatnya, bahasa Melayu memang dalam keadaan ditelan mati emak, diluah mati bapak. Untuk dilaksanakan sepenuhnya akan dikatakan negara gostan ke belakang, untuk tidak dilaksanakan menjadikan bahasa terus dimundurkan.

Kita telah berada di alaf baru. Ironi atau sadis, Bahasa Melayu bukan isu prioriti. Malah tidak termasuk dalam senarai itu. Tiada kepentingan komersil. Sekadar bertaraf kosmetik. Namakan jenama masyhur pembangunan sensasi kerajaan, MSC, Cyberjaya, Twin Towers, Klia, F1 dan sebagainya, tiada yang megah tentang bahasa Melayu. Kalau ada pun, Istana Budaya (budaya bukan bahasa) yang terlalu canggih dengan perkakasan, bukan 'perisian' dan pengisian.

Tindakan akan menyerlahkan niat. Tindakan walau tanpa niat boleh menampak-nampakkan strategi untuk menyisihkan bahasa Melayu. MDC yang menjual produk MSC akan janggal berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Laman webnya sendiri tidak mempunyai versi bahasa Melayu. Manakala laman web Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang menjual produk 'bahasa jiwa bangsa'nya tidak mempunyai kelas untuk bersaing dalam dunia siber yang menjadi prioriti negara.

Langkah pertama sekiranya kerajaan sekarang ber'niat' untuk mendaulatkan bahasa Melayu ialah dengan menukar nama Umno (Baru) ke PKMB atau Pekembar.

Kalau tidak, rakyat yang terpaksa menukar kerajaan.

Tepuk dada tanya selera!


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS