Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | Armada kecam CEO Petronas terlibat dalam acara sembur arak F1

Armada mengecam keras tindakan Tengku Muhammad Taufik, presiden dan ketua pegawai eksekutif Kumpulan Petronas yang terlibat dalam champagne shower (semburan

arak) ketika di atas podium Formula 1 Singapore Grand Prix 2025 pada 5 Oktober 2025. 

Insiden ini berlaku apabila George Russel mewakili Mercedes AMG Petronas F1 Team memenangi perlumbaan tersebut dan Taufik atas kapasiti sebagai CEO dan presiden Petronas mewakili pasukan untuk menerima trofi di atas podium.

Hasil kajian Armada, champagne yang digunakan di podium tersebut adalah jenis Moët & Chandon yang mempunyai kandungan alkohol sebanyak 12 peratus. Moët & Chandon juga adalah champagne rasmi untuk Formula 1. 

Sebagai pemimpin korporat Melayu Islam yang sedang menerajui sebuah syarikat milik kerajaan Malaysia 100 peratus, beliau wajib menunjukan sensitiviti yang tinggi ketika mewakili syarikat di pentas tempatan apatah lagi antarabangsa. 

Insiden tersebut menunjukan beliau menyembur dan disembur arak tersebut sehingga lencun satu badan dan lebih mengecewakan memakai baju rasmi Petronas.

Penggunaan arak tidak boleh dinormalisasi dalam kerajaan atau GLC. 

Negara baru dikejutkan dengan hidangan arak di majlis Tourism Malaysia dan kini giliran CEO syarikat terbesar milik kerajaan menunjukan sikap liberal seolah-olah perkara itu sudah menjadi kebiasaan. 

Memahami bahawa acara podium dan champagne shower adalah budaya dan adat perlumbaan untuk meraikan pemenang tiga terbaik, tetapi sebagai pemimpin korporat Melayu Islam yang mewakili Petronas, beliau wajib meninggalkan podium ketika champagne shower sedang

berlangsung dan kembali semula untuk bergambar bersama pemenang.

Armada berbangga dengan pencapaian pasukan yang ditaja oleh Petronas dan berbangga melihat warganegara Malaysia mewakili pasukan gergasi itu untuk menerima trofi tetapi tidak boleh bertolak ansur berkenaan aktiviti semburan arak. 

Tindakan tersebut memalukan negara khususnya di mata pemimpin negara Islam yang juga terlibat dalam Formula 1 (Bahrain, Qatar, Saudi Arabia, United Arab Emirates). 

Armada berharap agar perdana menteri memberi amaran akhir kepada semua Kementerian, agensi kerajaan, GLC, GLI untuk menjaga maruah negara sebagai negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan (Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan).


HARRIS IDAHAM RASHID adalah  ketua penerangan Armada Bersatu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS