Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menegaskan bahawa tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuang empat pelajar yang terlibat dalam kes rogol di sebuah sekolah di Melaka merupakan tindakan yang tepat, berani dan wajar.
Keputusan ini menunjukkan bahawa KPM serius dalam memastikan sekolah kekal sebagai institusi yang selamat, berdisiplin dan bebas daripada sebarang bentuk jenayah yang menjijikkan.
Tindakan tegas ini juga harus dilihat sebagai langkah pencegahan yang penting bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang di mana-mana sekolah di negara ini.
Perbuatan rogol adalah jenayah keji yang tidak boleh dikompromi atas apa jua alasan.
AMK Pulau Pinang berpendirian bahawa pelaku perlu menerima hukuman setimpal tanpa sebarang tolak ansur.
Dalam masa yang sama, tindakan KPM ini perlu menjadi isyarat jelas dan pengajaran kepada semua pelajar bahawa tingkah laku songsang dan jenayah seksual tidak akan diterima dalam mana-mana institusi pendidikan.
AMK Pulau Pinang berpandangan bahawa isu sama ada pelajar terlibat wajar dibenarkan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak sepatutnya dijadikan fokus utama masyarakat.
Kes ini telah pun disiasat oleh pihak polis dan kini diserahkan kepada proses siasatan serta sistem kehakiman negara.
Fokus sebenar haruslah diberikan kepada usaha mencegah kejadian sebegini daripada berlaku semula melalui pendidikan moral, pembentukan sahsiah dan bimbingan berterusan.
AMK Pulau Pinang menyeru KPM agar memperkukuh pendidikan nilai, kesedaran jenayah seksual, disiplin serta program intervensi awal di sekolah.
Guru, kaunselor dan ibu bapa perlu memainkan peranan bersama dalam mendidik generasi muda tentang nilai hormat, empati dan tanggungjawab sosial.
Langkah-langkah pencegahan yang proaktif mampu membina budaya sekolah yang menghormati maruah dan keselamatan setiap pelajar.
Pendekatan ini selari dengan semangat Madani yang diperjuangkan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang menekankan keseimbangan antara ketegasan dalam menegakkan undang-undang dan keperluan membina masyarakat berakhlak.
AMK Pulau Pinang menegaskan bahawa setiap perbuatan mempunyai akibat, dan pencegahan awal jauh lebih penting daripada mencari alasan selepas kejadian berlaku.
Oleh itu, tindakan KPM ini bukan sahaja wajar dipuji, tetapi juga perlu dijadikan asas untuk memperkukuh sistem pendidikan yang benar-benar mendidik dan bukan sekadar mengajar.
MUHAMMAD ZAKWAN MUSTAFA KAMAL adalah Ketua AMK Pulau Pinang
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
