Kalau nak ikutkan, purata umur ahli-ahli parlimen kita sekitar 60 tahun. Ahli parlimen yang paling lanjut usianya lahir pada tahun 1946 manakala yang paling muda usianya lahir pada tahun 1996.
Sementara itu, ahli-ahli parlimen yang berjawatan besar rata-rata berumur 60 tahun ke atas.
Sepatutnya, mereka ini lebih matang, lebih berpengalaman, lebih teratur dan sebagainya. Tetapi, ianya indah khabar dari rupa.
Kita banyak tengok mereka lebih banyak bertengkar, menjerit perkataan-perkataan kesat dan menghina, sampaikan ada yang tunjuk aksi untuk bergaduh.

Boleh dikatakan, Dewan Rakyat itu serupa acara gusti Royal Rumble (where it's every person for themselves).
Banyak video-video lucu ataupun memes yang telah dikeluarkan sebab lagak YB-YB (Yang Berhormat) ini tidak professional, tidak matang dan sejujurnya, nampak memalukan di kalangan mata rakyat Malaysia.
Video-video ini, bukanlah sebenarnya untuk memuji YB-YB ini. Memes ini semua bertujuan untuk menyindir dan menegur ahli-ahli politik yang berperangai tidak matang.
Apabila memes ini viral dan mendapat perhatian orang ramai, satu persoalan yang selalu muncul: Ini semua wayang politik ataupun mereka betul betul tidak matang?
Wayang politik
Orang ramai selalu bertanya, mereka ini gaduh betul betul ataupun ianya semua lakonan.
Bila di dalam Dewan Rakyat, bergaduh seperti dunia akan hancur tak lama lagi. Bertekak hingga hilang suara dan keluarkan kata-kata kesat seperti tiada perasaan malu atau kesal.
Tetapi, bila keluar dewan, mereka bergelak tawa di lobi parlimen. Minum teh tarik dan berborak sakan sampai ke lewat malam. Bertepuk tampar macam adik beradik yang dah lama tak berjumpa.

Malah, siap ada yang ajak berselfie selepas mereka puas bertengkar dalam dewan. Jadi, adakah apa yang berlaku dalam Dewan Rakyat itu semua wayang?
Masing-masing mahu tunjuk siapa yang lebih hero? YB-YB ini rasa mereka perlu tunjuk yang mereka ini terpaling bersemangat untuk pertahankan prinsip?
Inilah masalah yang berlaku dalam politik Malaysia pada masa ini. Semuanya lakonan atau performative.
Semua yang terjadi hanyalah satu lakonan untuk mereka tunjuk kepada rakyat di luar sana bahawa mereka yang paling lantang untuk suarakan isu-isu rakyat.
Peraturan Dewan Rakyat
Jika nak ikutkan, apabila YB-YB ini masuk ke dalam Dewan Rakyat, mereka perlu ikut peraturan yang telah ditetapkan.
Peraturan mesyuarat yang paling jelas untuk mereka patuhi ialah Peraturan Mesyuarat 36(4) “Adalah menjadi kesalahan bagi Ahli-ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadap) atau membuat pernyataan yang seksis”.
Jika diberikan Peraturan Mesyuarat 36(4) itu kepada pelajar sekolah rendah, pasti mereka akan dapat faham bahawa jika menggunakan bahasa yang biadap, ianya menjadi satu kesalahan.

Jadi, kenapa YB-YB kita ini semua yang dibayar gaji puluhan ribu susah nak faham dan ikut peraturan tersebut?
Adakah kerana mereka mempunyai tafsiran yang lain bunyinya? Adakah kerana mereka ini berpengalaman dan mempunyai status yang berbeza, jadi peraturan itu tidak terpakai kepada mereka? Adakah mereka sudah biasa hidup dalam the grey area, sehingga semuanya bukannya black and white untuk mereka?
Itu persoalan yang perlu ditanya kepada semua ahli-ahli parlimen ini. Tepuk dada, tanya selera.
Jalan penyelesaian
Jadi, apa langkah untuk selesaikan masalah ini semua?
Apa cara untuk pastikan pelakon-pelakon politik ini berubah menjadi watak yang lebih professional dan matang?
Jawapan yang ada sebenarnya bukan mudah. Sebenarnya, budaya politik di Malaysia itu perlu diubah dan dibentuk semula.
Kita perlu tunjuk yang kita tidak perlukan budaya yang jadikan Dewan Rakyat itu serupa gelanggang gusti.
Rakyat Malaysia perlu tunjuk kepada ahli-ahli politik ini bahawa jika mereka tidak berubah ke arah kebaikan, mereka semua boleh diturunkan dari takhta kuasa.
YB-YB ini semua perlu diberi peringatan, bahawa kuasa di tangan rakyat itu lebih besar daripada yang kamu sedang pegang.
ADAM AZRAI MAZLI pegawai khas kepada pemangku presiden Muda dan Adun Puteri Wangsa Amira Aisya.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
