Ekonomi telah pulih, demikian kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka yang berkuasa. Disambut dengan kokokan oleh mereka yang lain di media massa perdana yang kebetulan mengalami kemorosotan pembaca sejak tahun 1998. Dan terus menjadi bahan ketawa sahaja.
Belanjawan negara tahun ini yang dibentangkan juga begitu manis dengan segala catatan pertumbuhan ekonomi. Memberangsangkan. Mengatasi segala ekspektasi. Bersorak-sorai mereka yang sama dengan gendang yang bingit sambil menepuk-nepuk dada.
Sekiranya dipercayai semua berita, cerita, ucapan, ceramah dan iklan dari korporat bernama kerajaan Malaysia ini, tentunya rakyat akan berada dalam sebuah ruang yang begitu diimpikan. Ekonomi siapa yang pulih sebenarnya? Mereka yang dengan mudah di'bail-out', diberi konsesi baru atau rakyat yang menanggung bebanan 'ekonomi telah pulih'?
Begitulah realitinya. Kenaikan harga barang yang terus menjadi indeks 'ekonomi telah pulih' ini memberi satu refleksi tentang pengurusan ekonomi negara. Cermin hakikat yang sepatutnya menelanjangkan wajah sebenar mereka yang terus bermaharajalela memerintah negara 'mengikut acuan sendiri' dan terus berhasil dengan kejayaan demi kejayaan.
Kejayaan Time dot-Com misalnya untuk tersenarai dalam Buku Rekod Malaysia sebagai syarikat yang paling 'undersubscribe', kejayaan Bursa Saham KL berada di tahap yang merudum dalam jangka masa panjang, kejayaan Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja menurunkan dividen, kejayaan Jabatan Bekalan Air Selangor untuk menaikkan harga air, kejayaan Proton memaksimumkan keuntungan atas nama 'usaha nasional', kejayaan Lapangan Terbang Antarabangsa KL dalam menjadi lapangan terbang terpinggir, kejayaan Sistem Aliran Ringan, Sistem Penerbangan Malaysia, Indah Water Konsortium, Syarikat Perkapalan Mirzan Mahathir untuk dibeli semula dengan duit rakyat dan beberapa kejayaan mega lain sememangnya perlu dibanggakan oleh generasi hari ini akan datang.
Itu tidak termasuk kejayaan ratusan pelajar yang tidak mampu membayar yuran peperiksaan, kejayaan institusi swasta mengaut keuntungan melalui matrikulasi, kejayaan Badan Pencegah Rasuah menjejak kes Perwaja ke Switzerland setelah bertahun-tahun, kejayaan menghalang ceramah pembangkang, kejayaan menutup akhbar alternatif dan kejayaan TV tempatan memberikan pulangan kepada Bollywood sebagai pemangkin budaya globalisasi yang mengghairahkan.
Terlalu banyak kejayaan untuk disenaraikan dalam 'Buku Rekod Buruk Kerajaan Malaysia'.
Kerana itulah negara-negara dunia ketiga mesti belajar dari kejayaan-kejayaan ini bersama 'Wira Dunia Ketiga' bernama Dr Mahathir Mohamad!
