Di sini saya ingin menarik perhatian berkenaan tindakan melulu veto pihak KWSP yang meminda akses lebihan RM1 juta sebanyak 30 peratus secara berperingkat bermula pada 1 Januari 2026 tanpa mengambil kira pandangan golongan bawah umur 55 tahun yang terkesan, sesuatu yang amat dikesali.
Kenaikan yang dimaksudkan ialah peningkatan had pengeluaran lebihan daripada jumlah semasa sebanyak RM1 juta kepada RM1.1 juta pada 2026, RM1.2 juta pada 2027 dan RM1.3 juta pada 2028.
Pihak pencarum yang terlibat hanya dimaklumkan mengenai kenaikan lebihan RM1 juta melalui hebahan media pada 26 September 2025 dan diberikan tempoh kurang daripada tiga bulan sebelum pelaksanaannya.
Perancangan jangka panjang pencarum disekat secara mendadak selama tiga tahun sehingga 2028 tanpa masa mencukupi untuk menyesuaikan keadaan, seperti menyelesaikan hutang, persediaan persaraan, atau pendidikan anak-anak.
T20 kurang dapat bantuan, sumbang cukai
Alasan menggunakan Rangka Kerja RIA (Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan) oleh pihak KWSP ialah kerana terdapat penanda aras lebihan simpanan mengikut umur, dan RM1.3 juta hanya perlu dicapai pada usia 60 tahun.
Rangka Kerja RIA turut menyatakan bahawa lebihan simpanan pada usia 56 tahun ialah RM1 juta. Maka, tidak wajar mengenakan kenaikan mendadak ini tanpa mengambil kira pandangan pencarum, khususnya yang berumur 55 tahun ke bawah.
Pihak KWSP seharusnya lebih bertanggungjawab dalam menguruskan wang pencarum, terutama pencarum yang menyumbang simpanan tinggi dalam kalangan T20 — golongan yang kurang menerima bantuan tetapi banyak menyumbang kepada hasil cukai negara.

Adakah kumpulan kecil pencarum ini (kurang 0.5 peratus daripada keseluruhan pencarum yang mempunyai simpanan melebihi RM1 juta dan berumur di bawah 55 tahun) benar-benar menghadapi masalah kelangsungan hidup pada hari tua seperti yang dinyatakan?
Perlu ditegaskan bahawa ramai pekerja sektor GLC seperti Telekom Malaysia dan Petronas yang berumur sekitar 45 tahun ke atas telah mengambil skim VSS atau MSS.
Maka, amat tidak adil apabila pindaan tergesa-gesa ini dilaksanakan, kerana ia menjejaskan perancangan kewangan jangka panjang mereka.
Banyak kesan negatif akan berlaku sekiranya pindaan tidak mesra rakyat ini diteruskan, seperti kekurangan dana, peningkatan hutang, risiko meminjam daripada along, serta dinafikan hak lain yang telah dirancang — termasuk pendidikan anak, penyelesaian hutang rumah dan modal permulaan perniagaan bagi pencarum yang sudah tidak bekerja.

Tambahan pula, pada masa ini dividen yang diberikan oleh pihak KWSP hanyalah sehingga had RM1 juta manakala lebihan simpanan melebihi jumlah tersebut tidak menerima sebarang pulangan dividen.
Oleh itu, adalah lebih wajar jika lebihan ini dibenarkan untuk digunakan bagi tujuan yang lebih bermanfaat kepada pencarum.
Saya amat berharap pihak media dapat mengupas isu ini dengan segera memandangkan pelaksanaannya dijadual bermula pada 1 Januari 2026, berbanding isu lain seperti skim pencen atau cadangan kenaikan umur persaraan kepada 65 tahun yang masih di peringkat kajian.
Pindaan ini boleh diputuskan oleh jemaah menteri dengan nasihat Lembaga KWSP serta diumumkan melalui media tanpa perlu dibahaskan di Parlimen, berdasarkan peruntukan Akta 91 Seksyen 54(c).
Nota editor: Menurut KWSP, tiada had terhadap jumlah dividen yang boleh diterima oleh ahli. Setiap ringgit simpanan - termasuk yang melebihi RM1 juta - masih menerima pulangan dividen yang diisytiharkan.
MOHD AZMIR RAMLI ialah pencarum KWSP yang terkesan dengan dasar baru pengeluaran KWSP.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
