Pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan bakal Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani pada 21 Nov lepas telah menarik perhatian ramai pemerhati politik global mahupun di Malaysia.
Selepas kedua-dua tokoh saling berbalas kenyataan sinis selama berbulan, pertemuan mereka di Rumah Putih berlangsung dalam suasana yang mesra.
Di sebalik suasana mesra itu, latar belakang kedua-dua tokoh ini sebenarnya mencerminkan pertembungan dua dunia politik yang sangat berbeza.
Trump merupakan bilionair Republikan yang terkenal dengan gaya politik konfrontasi manakala Mamdani personaliti muda sosialis demokrat beragama Islam yang lantang dalam isu keadilan sosial.

Mamdani muncul sebagai sosok politik yang melangkaui kerangka tradisional.
Walaupun sebelum menang pilihan raya Datuk Bandar 4 November lalu, beliau sudah berjaya mencuri perhatian ramai, bukan sahaja di Amerika Syarikat, malah di peringkat antarabangsa.
Kemenangannya dilihat sebagai simbol penentangan terhadap politik lama di salah sebuah kota metropolitan yang paling penting bukan sahaja di Amerika Syarikat, tetapi di dunia.
Perkembangan ini membawa pengajaran penting bukan sahaja kepada Amerika, tetapi juga kepada negara seperti Malaysia.

Pengajaran pertama ialah isu kos sara hidup mesti menjadi agenda utama politik, bukan isu sampingan.
Mamdani membina sokongan dengan menjadikan perumahan dan kos sewa sebagai teras kempen, bukan sekadar janji umum.
Sebagai contoh, Mamdani secara konsisten menjadikan isu sewa dan perumahan sebagai teras kempen beliau dengan mencadangkan pembekuan kenaikan sewa bagi unit sewaan terkawal serta menyasarkan pembinaan ratusan ribu unit perumahan mampu milik sebagai penyelesaian jangka panjang.
Di Malaysia hari ini, rakyat berdepan dengan kos sara hidup yang kian menekan.
Harga sewa rumah dan keperluan asas melonjak. Jurang antara yang berada dan yang terhimpit semakin melebar.

Umpamanya di kawasan seperti Bukit Bintang, di mana saya aktif bergiat di peringkat akar umbi, tekanan ini lebih ketara kerana ia melibatkan peniaga kecil, pekerja sektor perkhidmatan, belia bandar dan warga emas yang hidup dalam persekitaran kos tinggi setiap hari.
Di Bukit Bintang, usaha meringankan beban ini turut disokong di peringkat tempatan melalui penyelarasan program seperti Jualan Rahmah, bantuan pendaftaran dan semakan kelayakan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), serta bimbingan kepada penduduk mengenai penggunaan kemudahan subsidi bersasar seperti BUDI RON95.
Ini hasil kerjasama rapat antara pasukan saya dengan agensi-agensi berkaitan dalam memastikan bantuan sampai kepada golongan yang memerlukan.
Pengajaran kedua ialah pendekatan berasaskan akar umbi (bottom-up) lebih berkesan berbanding pendekatan yang terlalu berpusat (top-down).

Mamdani menambat sokongan bukan melalui jentera pilihan raya yang besar, tetapi turun padang dan mendekati komuniti. Model ini lebih dekat dengan realiti Malaysia.
Apabila rakyat tertekan dari segi kewangan, mereka tidak mahu sekadar mendengar pidato; mereka mahu suara mereka didengar.
Sesi turun padang, mendengar masalah rakyat, berjumpa peniaga kecil serta belia dan menyelesaikan isu di peringkat setempat perlu menjadi amalan biasa, bukan sekadar acara bermusim.
Pengajaran ketiga ialah kredibiliti lahir daripada konsistensi, bukan publisiti.

Mamdani dikenali dalam kalangan penyokongnya kerana kerja komuniti yang berterusan sebelum menang pilihan raya Datuk Bandar New York.
Beliau aktif menganjurkan klinik bantuan guaman percuma, menyokong kempen perumahan mampu milik, dan konsisten turun padang bersama komuniti imigran serta pekerja berpendapatan rendah, jauh sebelum namanya menjadi tajuk utama media.
Kerja-kerja akar umbi ini membina kepercayaan secara perlahan tetapi kukuh, berbeza dengan politkus yang hanya muncul ketika musim pilihan raya.
Di Malaysia, rakyat sudah semakin muak dengan kepimpinan yang sibuk dengan publisiti murahan dan janji kosong.

Mereka tidak lagi mudah terpesona dengan program kosmetik. Mereka menuntut tindakan sebenar yang dapat dirasai dalam kehidupan seharian.
Politik Mamdani bukanlah model yang perlu kita tiru bulat bulat.
Namun, ia wajar dijadikan iktibar dan rujukan serta peringatan jelas bahawa apabila sistem sedia ada gagal memenuhi keperluan rakyat, mereka tidak akan teragak-agak mencari alternatif lain.
Inilah pelajaran sebenar daripada fenomena Mamdani. Ini bukan tentang individu, tetapi tentang keupayaan kita membina sistem yang lebih beradab, lebih adil dan lebih berpaksikan rakyat, selari dengan semangat Madani yang sering kita laungkan, namun wajar diperkukuh dari masa ke masa.
BEN FONG KOK SENG ialah Pengerusi Zon Bukit Bintang, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
