SURAT | Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan Pulau Pinang berhati-hati dengan keghairahan terhadap penemuan unsur nadir bumi (REE) baru-baru ini yang kononnya bernilai RM87 bilion.

Kami menasihatkan kerajaan untuk menilai secara menyeluruh potensi kesan terhadap alam sekitar, sosial dan ekonomi sebelum membuat sebarang keputusan tentang eksploitasi sumber tersebut.

Kami menentang pelombongan REE tanpa mengkira apa kaedah yang digunakan, kerana kesannya yang merosakkan alam sekitar dan kesihatan manusia.

Kita mempunyai sejarah hitam mengenai perlombongan apabila ia telah meninggalkan legasi sisa tanpa banyak pengajaran yang telah dipelajari terutamanya berkaitan kes Asian Rare Earth di Bukit Merah, Perak.

Kita tidak seharusnya membiarkan sejarah berulang.

Menurut Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA), satu tan REE menghasilkan 2,000 tan sisa toksik, termasuk 75 meter padu air sisa dan satu tan sisa radioaktif.

Oleh itu, kami tidak menyokong pelombongan REE walaupun untuk tujuan negara, terutamanya apabila kebanyakan sumber tersebut terletak di kawasan sensitif alam sekitar (ESA) termasuk di dalam hutan simpan kekal dan ekosistem kepelbagaian biologi atau berhampiran dengan petempatan orang asli dan masyarakat tempatan.

Lebih-lebih lagi Pulau Pinang merupakan sebuah pulau kecil bersama kawasan kecil di Seberang Perai yang terdapat kemungkinan besar deposit tersebut mungkin berada di dalam tempat sensitif alam sekitar dan berdekatan dengan masyarakat tempatan.

Berkenaan perlombongan yang melibatkan larut resap in situ, ini masih memerlukan pembersihan satu per tiga daripada tumbuh-tumbuhan dan menimbulkan risiko pencemaran air bawah tanah yang lebih serius.

Penggunaan ammonium sulfat sebagai bahan larut resap boleh menyebabkan pencemaran sulfat yang boleh bertahan lama selepas perlombongan dihentikan. Ia menyebabkan pencemaran nutrien yang lebih teruk di hilir sungai dan takungan, bersama peningkatan pengeluaran mikrob hidrogen sulfida, bahan yang sangat toksik kepada banyak organisma dan tumbuhan akuatik.

Kerajaan masih belum menyediakan pelan apatah lagi rancangan yang memadai untuk menangani semua sisa radioaktif jangka panjang yang akan dijana sebaik sahaja pelombongan bermula.

Di mana ia akan dilupuskan, siapa yang akan menguruskan sisa dan siapakah yang akan membiayainya?

Syarikat pelombongan akan datang, melombong dan pergi. Rakyat dan pembayar cukai negara inilah yang akan menanggung semua akibat yang berpunca daripada industri kotor itu.

Kerajaan seharusnya berpandangan jauh dan tidak hanya melihat keuntungan daripada pelaburan semata-mata.

Sebaliknya, kerajaan mestilah menjalankan penilaian menyeluruh terhadap risiko jangka panjang, mengutamakan perlindungan alam sekitar dan komuniti berbanding berbanding mengejar keuntungan ekonomi jangka pendek.

Dengan meletakkan keuntungan mengatasi langkah berjaga-jaga, kita berisiko untuk mengekalkan kesilapan yang sama yang telah merosakkan alam sekitar kita dan menjejaskan kesihatan awam.

Kerajaan Pulau Pinang mestilah mengakui sepenuhnya kos yang tidak dapat diubah yang berkaitan dengan perlombongan REE dan mengalihkan tumpuan mereka daripada keuntungan kewangan segera kepada pembangunan mampan.

Untuk menjaga masa depan Pulau Pinang, kita mestilah mencegah sebarang kemudaratan alam sekitar yang tidak dapat dipulihkan.

Kita mestilah bertindak secara bertanggungjawab hari ini untuk mengekalkan warisan semula jadi, memastikan generasi akan datang mewarisi Pulau Pinang yang sihat dan berkembang maju.

Kerajaan Persekutuan dan negeri tidak sepatutnya dibutakan oleh janji berbilion dan trilion ringgit berhubung dengan industri REE yang perlu dilihat sebagai industri kotor dan toksik.

Malaysia mestilah membetulkan keutamaannya dan meletakkan alam sekitar sebagai pusat, bukannya terus-menerus merosakkan sumber asli kita atas nama menjana kekayaan ekonomi.

Jelas sekali kita masih belum belajar mengenai perkara yang diperlukan untuk benar-benar mampan, sebaliknya kita meninggalkan warisan toksik untuk generasi akan datang.


MOHIDEEN ABDUL KADER ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang, manakala MEENAKSHI RAMAN merupakan Presiden Sahabat Alam Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS