Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, DAP tumbang tanpa belas. Kesemua lapan kerusi yang ditandingi dirampas oleh parti lawan – satu isyarat jelas bahawa rakyat Sabah sudah muak dengan retorik kosong dan politik angkuh yang tidak membawa hasil.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1966, DAP sering menampilkan diri sebagai suara lantang rakyat, kononnya pembela keadilan.
Namun, apabila diberi peluang memegang kuasa, mereka gagal membuktikan keupayaan membina.
Kritik mereka lantang, tetapi hasilnya kosong.
Kini, sokongan terhadap DAP terus menjunam. Penyokong sendiri mula sedar – mereka ditipu dengan janji manis yang tidak pernah ditunaikan.

DAP bukan lagi harapan, tetapi beban.
Sivanesan dan Thulsi- cakap besar, prestasi hambar
Exco Perak Sivanesan dan Adun Buntong Thulsi tidak pernah lekang dari mengkritik MIC. Namun, dalam kekalutan DAP sendiri, mereka seolah-olah lupa cermin diri.
Sivanesan, yang pernah mendabik-dada menasihati Menteri Besar Perak agar menolak pelantikan MIC, kini berdepan persoalan besar - bagaimana mahu meraih sokongan pengundi India jika isu-isu tanah kuil di Negeri Perak pun ada banyak lagi yang masih gagal diselesaikan?

Thulsi pula, lebih gemar menyerang MIC secara sembrono. Tapi sebelum menuding jari, eloklah beliau bertanya - sudahkah DAP menunaikan janji-janji sendiri?
Janji tinggal janji, retorik jadi tradisi
Ketika Pakatan Harapan berkuasa, DAP menjanjikan 10 perkara dalam 100 hari. Tapi apa yang berlaku?
Penghapusan senarai hitam PTPTN? Gagal.
Sejuta peluang pekerjaan? Sekadar mimpi.
Lebih menyedihkan, isu 300,000 rakyat Malaysia berbangsa India yang masih tiada dokumen pengenalan diri - satu isu yang sering dijadikan modal politik DAP – masih tidak selesai hingga hari ini.
Di mana Sivanesan, Kulasegaran dan Thulsi ketika rakyat menanti penyelesaian?
DAP: Gah bila membangkang, gagal bila memerintah
DAP hanya tahu menyalak dari luar pagar. Bila diberi kunci rumah, mereka hilang arah.
Baru sekali jadi kerajaan, sudah lupa daratan. Mereka lebih selesa sebagai pembangkang – kerana di situlah mereka boleh terus menjual retorik tanpa perlu membuktikan apa-apa.
Lebih baik DAP diam daripada terus memalukan diri. Semakin banyak mereka bercakap, semakin jelas kegagalan mereka.
M VIVEKANANTHAN Setiausaha Sulit Kepada Ahli Parlimen Tapah dan Timbalan Presiden MIC.
