Paling Popular
Terkini
mk-logo
Surat
SURAT | LawAsia seru M’sia,Thailand tarik balik pertuduhan pada Murray Hunter

LawAsia menyatakan kebimbangan terhadap pendakwaan oleh pihak berkuasa Thailand terhadap penulis merangkap penulis blog Australia, Murray Hunter, atas dakwaan memfitnah kerajaan Malaysia.

Antara April hingga November 2024, Hunter, yang telah lama menetap di Thailand, menyiarkan empat artikel di Substack, sebuah platform media dalam talian. 

Dalam artikelnya, Hunter menuduh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) “menyalahgunakan kuasa, menapis serta menyekat laman web yang kritikal terhadap kerajaan, dan mendakwa pengerusinya mempunyai konflik kepentingan”. 

MCMC memfailkan kes sivil fitnah terhadap Hunter di Malaysia, dan kes itu diputuskan memihak kepada MCMC pada 15 Oktober oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Dalam tempoh yang sama, MCMC turut memfailkan kes fitnah jenayah di Thailand, dengan waran tangkap dikeluarkan terhadap Hunter pada 27 Mac. Dia kemudiannya ditangkap pada 29 September 2025 di Lapangan Terbang Suvarnabhumi oleh polis Thailand ketika cuba meninggalkan negara tersebut.

Hunter ditahan selama 24 jam sebelum dibebaskan dengan jaminan; pasportnya dirampas dan dia tidak dibenarkan meninggalkan Thailand. Dia dijadualkan untuk dibicarakan bermula 21 Disember; jika disabitkan kesalahan, dia berdepan hukuman penjara dua tahun. 

LawAsia mengambil maklum bahawa kes terhadap Hunter digambarkan oleh Thai Lawyers for Human Rights sebagai “tindakan undang-undang strategik terhadap penyertaan awam” (SLAPP) yang bersifat rentas negara. LawAsia juga mengambil maklum kenyataan oleh Foreign Correspondents Club of Thailand berhubung perkara ini.

Media yang bebas dan berdikari adalah penting bagi sesebuah demokrasi berfungsi dengan berkesan. Pendakwaan terhadap Hunter pasti akan memberi kesan menakutkan terhadap kebebasan bersuara dan ekspresi politik. 

Ia juga mewujudkan satu duluan berpotensi bagi penggunaan undang-undang fitnah jenayah secara rentas negara sebagai senjata terhadap wartawan.

LawAsia menyeru pihak berkuasa berkaitan di Malaysia dan Thailand supaya menarik balik semua pertuduhan terhadap Hunter dan memperbaharui komitmen untuk memastikan media yang bebas dan berdikari. 

LawAsia juga menggesa MCMC, sebagai badan pengawal selia dan pihak berkuasa awam, supaya menilai semula penggunaan undang-undang fitnah berhubung kritikan yang ditujukan terhadapnya. 

Dalam hal ini, LawAsia menarik perhatian kepada Ulasan Umum No 34 yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang menegaskan bahawa undang-undang fitnah tidak seharusnya digunakan oleh negara pihak untuk menghalang atau menghukum kritikan terhadap kerajaan.


YAP TEONG LIANG adalah presiden Persatuan Undang-Undang Asia dan Pasifik (LawAsia).

Tulisan ini diterjemah dari bahasa Inggeris dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS