Ada pepatah yang berbunyi 'siapa yang makan cili, dia akan merasa pedasnya.' Pepatah ini tepat menggambarkan reaksi Ketua Pemuda Umno, Hishammuddin Hussein, terhadap pandangan Naib Ketua Pemuda Gerakan, S Paranjothy bahawa Umno memainkan sentimen kaum Melayu.

Seperti yang umum maklum,media tempatan merupakan 'alat suara' untuk menyebarkan pendapat tertentu kerajaan dan Umno. Maka tidak menghairankan apabila Utusan Malaysia menerbitkan pandangan seorang penulis yang, antara lain, memperingatkan Paranjothy supaya tidak bermain dengan api sebab Umno sudah cukup sabar dan bertolak ansur sekian lama.

Dia juga meneruskan karutnya dengan memberi pujian kepada Umno untuk kemewahan dan kekayaan yang dinikmati kaum bukan Melayu yang, menurutnya, lebih daripada orang Melayu dan bumiputera.

Penulis itu mengakhiri celotehnya dengan ungkapan terkemuka orang Umno, iaitu orang Melayu yang seharusnya merasa terpinggir di tanahair sendiri dan Paranjothy dan sesiapa yang sependapat denganya, bolehlah berhijrah ke negara lain.

Sebenarnya, kenyataan Paranjothy sengaja dikeluarkan dari konteksnya oleh suratkhabar dengan menyentuh hanya satu isu yang beliau kemukakan iaitu mengenai Hindraf dan kedudukan warga Malaysia berketurunan India.

Berdasarkan laporan Malaysiakini , kenyataan penuh Paranjothy menekankan cara berpolitik Umno yang sengaja memainkan sentimen orang Melayu untuk meraih sokongan politik. Tiada siapa di kalangan ahli Umno - Hishammuddin, Khairy Jamaluddin mahu pun Pak Lah - yang boleh menafikan fakta tu. Buktinya jelas terpapar di kaca televisyen rakyat jelata semasa persidangan Umno tahun 2006.

Baru-baru ini juga, Khairy menyindir bahawa pengedaran surat khabar di negara ini dikuasai kaum India dan kerana itu ucapan dasar presiden Umno tidak dapat dibaca rakyat sebab penjual surat khabar tidak berkerja pada cuti am Deepavali.

Persoalannya ialah kenapa Umno, sebagai tulang belakang BN yang diterajui pemimpin untuk semua warga Malaysia, mengadakan persidangan tahunannya pada hari Deepavali?

Apakah hanya minggu itu sahaja diperolehi untuk persidangan tersebut? Mengapa Dr Mahathir Mohamad tidak pernah mengalami kesukaran memilih tarikh persidangan yang sesuai selama 22 tahun beliau menyandang jawatan Presiden Umno? Adakah Umno tidak akan tersinggung jikalau komponen parti BN yang lain mengadakan persidangan masing-masing semasa Hari Raya?

Khairy dijemput menerokai peluang menjadikan ahli Umno pengedar suratkhabar. Sekurang-kurangnya mereka akan memahami kesulitan membaling surat khabar pukul 5 pagi sambil menaiki motosikal.

Jelas sekali bahawa Umno dan BN merupakan organisasi perkauman terunggul di dunia. Amat ketara pula keadaan mengembiri parti-parti komponen BN yang nyata gagal mewakili kepentingan kaum bukan Melayu padahal BN berasaskan konsep perkauman.

Bayangkan, kelakuan naib ketua pemuda Umno menggertak Ketua Menteri Pulau Pinang? Atau perwakilan Umno meminta agar presiden MIC dipecat kerana membatalkan rumah terbuka Deepavali? Bolehkah pemuda komponen parti BN berkelakuan sedemikian kepada pemimpin Umno?

Politik perkauman sempit BN dipamerkan baru-baru ini apabila MIC dan Umno mengeluarkan kenyataan bercanggah mengenai Anwar Ibrahim. Umno menyebarkan khabar mengatakan beliau telah menjadi Hindu manakala MIC melemparkan tuduhan bahawa beliau tidak pernah menolong dalam isu berkaitan kaum India atau orang beragama Hindu semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Lima puluh tahun memadai untuk sandiwara BN. Adalah wajar rakyat menolak parti yang mengakui gagal memenuhi objektif Dasar Ekonomi Baru (DEB) selepas 30 tahun. Rakyat sudah cukup sabar dengan gaya pemerintahan BN yang bersifat perkauman. Saranan Pak Lah untuk membendung esktremis wajar dimulakan dengan Umno.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS