SURAT | Istiadat pembukaan sidagn parlimen semalam perlu dilihat bukan sekadar sebuah protokol. Titah sulung 2026 oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, membawa nada yang cukup keras, padat, dan jelas.
Namun, di antara baris-baris titah mengenai Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) dan isu kedaulatan bahasa Melayu, terdapat satu mesej politik yang cukup jelas: masa untuk politik 'tebuk atap' sudah berakhir.
Bagi blok pembangkang khususnya PN titah Agong semalam dilihat sebagai satu tamparan strategik yang meletakkan mereka dalam posisi checkmate.
Selama setahun dua ini, PN sering memainkan sentimen bahawa kerajaan perpaduan kononnya boleh tumbang pada bila-bila masa melalui gerakan-gerakan politik di luar pilihan raya.
Sultan Ibrahim sudah secara tegas menitahkan agar semua pihak menghormati kestabilan kerajaan sehingga tamat penggal sekarang.
Dengan sokongan terbuka baginda terhadap pentadbiran sedia ada dan demi kelancaran RMK13, sebarang cubaan untuk menggugat kerajaan melalui apa saja langkah pintu belakang akan dilihat bukan sahaja bersifat antikestabilan, malah boleh menjadi simbol penderhakaan kepada raja-raja Melayu.
Dalam pada itu, nadi politik PN — terutamanya PAS — adalah sekadar mengeksploitasi pembelaan terpilih terhadap isu agama dan bangsa.
Namun Sultan Ibrahim bukan sahaja melarang keras isu tersebut disentuh, malah menitahkan tindakan undang-undang yang lebih tegas diambil jika ia dilanggar.
Ruang politik kian sempit
Ini secara langsung memandulkan modal kempen PN.
Jika pembangkang terus menggunakan retorik perkauman atau agama yang ekstrem untuk menyerang kerajaan, mereka bakal berhadapan terus dengan 'garis merah' yang diletakkan oleh institusi raja-raja.
Justeru dapat difahami jika PN kini terpaksa bergelut mencari modal baru yang lebih bersifat teknokratik - sesuatu yang selama ini bukan kekuatan utama mereka.
Dalam pada itu, teguran pedas Sultan Ibrahim bahawa "Kalau ada yang tidak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia," adalah satu kenyataan nasionalistik yang sangat kuat.
Secara politiknya, titah itu meruntuhkan naratif PN bahawa mereka adalah satu-satunya pembela kedaulatan Melayu. Apabila Agong sendiri berdiri sebagai benteng utama identiti nasional, hujah PN bahawa Melayu terancam di bawah kerajaan semasa secara automatik menjadi lemah, malah tidak relevan.
Terakhir, PN sering mengkritik dasar ekonomi kerajaan seperti penyasaran subsidi dan pengenalan cukai baru sebagai "kezaliman".

Namun, apabila baginda secara jelas menyokong langkah reformasi fiskal dan pembersihan rasuah dalam titah semalam, kritikan PN sudah kelihatan seperti sekadar "membangkang untuk membangkang".
Sokongan Agong terhadap RMK13 yang memulakan langkahnya tahun ini memberikan modal politik yang besar kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk terus memacu agenda reformasi tanpa perlu terlalu bimbang kepada serangan populis pembangkang.
Justeru, bagi rakyat dan negara, titah Sultan Ibrahim semalam adalah satu bentuk penegasan terhadap kestabilan negara.
Bagi PN pula, ia menjadikan ruang untuk mereka bermain politik persepsi dan sentimen perkauman semakin mengecil.
Adakah PN akan akur dan mula bertindak sebagai pembangkang yang konstruktif dengan membahaskan dasar RMK13 secara matang?
Atau adakah mereka akan terus terperangkap dalam politik lama yang jelas tidak membina?
Satu perkara yang pasti - di bawah naungan Sultan Ibrahim, parlimen bukan lagi gelanggang untuk "drama pintu belakang".
HAFIZZUDDIN RAZIAN ialah Ketua Amanah Kepong.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
