Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM) berpandangan bahawa naratif “ringgit semakin kukuh” gagal mencerminkan realiti sebenar kehidupan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Di peringkat akar umbi, rakyat tidak menilai ekonomi melalui laporan atau graf, tetapi melalui harga barang di pasar, baki dompet, dan keupayaan menyediakan keperluan asas keluarga. 

Hakikatnya, walaupun nilai ringgit menunjukkan pengukuhan, harga barangan asas terus meningkat tanpa kawalan yang jelas.

PGIRM menerima pelbagai maklum balas pencarum yang melaporkan perbelanjaan asas bulanan yang sebelum ini sekitar RM300 hingga RM400 kini melonjak kepada sekitar RM600, sedangkan barangan yang dibeli hampir sama. 

Ini membuktikan bahawa rakyat sedang menanggung tekanan kos sara hidup yang nyata, bukan sekadar persepsi.

Keadaan ini menimbulkan persoalan besar: Siapa sebenarnya yang mendapat manfaat daripada pengukuhan ringgit, jika rakyat masih bergelut untuk membeli keperluan asas?

PGIRM menegaskan bahawa masalah kos sara hidup tidak boleh disederhanakan dengan alasan nilai mata wang semata-mata.

Realitinya, rakyat berdepan:

  • Harga makanan yang kekal tinggi walaupun kos input menurun.

  • Peningkatan kos sewa, logistik dan perkhidmatan.

  • Beban hutang isi rumah yang semakin menjerut.

  • Inflasi senyap dan pengecilan kuantiti barangan yang menekan pengguna.

Bagi pencarum berpendapatan bawah RM3,000 sebulan, situasi ini melangkaui soal keselesaan hidup dan kini menyentuh isu kelangsungan hidup. Ramai pencarum terpaksa membuat pilihan sukar antara makanan, bayaran bil, hutang dan keperluan anak-anak.

Dalam konteks ini, tuntutan berkaitan KWSP tidak wajar dilabel sebagai tidak bertanggungjawab atau berfikiran jangka pendek. Sebaliknya, ia lahir daripada tekanan sebenar rakyat yang cuba mengelakkan hutang tidak terkawal, pinjaman segera dan beban kewangan yang lebih parah.

PGIRM menegaskan bahawa tidak semua pencarum mempunyai kemewahan untuk menunggu sehingga usia 60 tahun, sedangkan tekanan hidup berlaku sekarang. Dasar persaraan yang baik tidak boleh menutup mata terhadap realiti semasa rakyat yang sedang terhimpit.

Jika kerajaan benar-benar komited kepada kesejahteraan rakyat, maka suara pencarum yang tertekan hari ini perlu diberi perhatian sama serius dengan perancangan jangka panjang negara.


AZMI MOHD TAHIR adalah presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS