Dalam dunia pengurusan operasi, gangguan biasanya datang daripada perkara yang boleh dijangka seperti kelewatan penghantaran, kenaikan kos atau masalah bahan mentah.
Namun hari ini, gangguan boleh bermula daripada sesuatu yang kelihatan remeh; satu hashtag, satu video tular atau satu gelombang solidariti digital.
Fenomena SEAblings menunjukkan bahawa sentimen dalam talian kini mampu memberi kesan langsung kepada sistem operasi fizikal di seluruh Asia Tenggara.
SEAblings merujuk kepada mobilisasi netizen Asia Tenggara yang bergerak secara kolektif apabila berlaku isu tertentu.

Dalam masa beberapa jam, perbualan digital boleh tersebar merentasi Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam. Bagi organisasi, perubahan sentimen ini bukan sekadar isu komunikasi.
Ia boleh menjadi isyarat awal kepada perubahan permintaan yang ketara.
Bayangkan satu produk tiba-tiba menjadi simbol solidariti serantau dan habis stok di beberapa negara dalam tempoh 48 jam.
Tanpa pelarasan inventori yang pantas, organisasi bukan sahaja kehilangan jualan, malah berisiko menjejaskan reputasi kerana dianggap tidak bersedia memenuhi permintaan. Inilah realiti baharu yang perlu dihadapi oleh pengurus operasi.

Cabaran pertama ialah perancangan permintaan. Sistem ramalan tradisional biasanya bergantung kepada data sejarah dan pola bermusim.
Namun dalam era digital, permintaan boleh melonjak atau merosot secara tiba-tiba akibat gelombang sentimen serantau. Tanpa sistem yang responsif, organisasi mudah terperangkap antara kekurangan stok dan lebihan inventori.
Rantaian bekalan juga terkesan. Apabila permintaan meningkat serentak di beberapa negara, struktur logistik perlu lebih fleksibel. Gudang yang sebelum ini menyokong satu pasaran mungkin perlu menampung permintaan negara jiran. Jika sistem terlalu berpusat atau lambat membuat keputusan, masa tindak balas akan menjadi terlalu panjang.
Fenomena ini mendedahkan jurang antara kelajuan digital dan kelajuan operasi fizikal. Sentimen dalam talian bergerak dalam hitungan minit. Pengeluaran dan pengedaran pula mengambil hari atau minggu. Tanpa ketangkasan, organisasi sentiasa ketinggalan di belakang perubahan pasaran.

Selain itu, risiko reputasi boleh bertukar menjadi risiko operasi. Jika berlaku sentimen negatif, pusat khidmat pelanggan mungkin menerima lonjakan pertanyaan dan aduan.
Pembatalan tempahan boleh meningkat. Jadual pengeluaran mungkin perlu diselaraskan semula. Dalam konteks ini, sentimen digital bukan lagi pemboleh ubah komunikasi, tetapi pemboleh ubah operasi yang perlu dimodelkan dalam perancangan strategik.
Oleh itu, ketangkasan operasi menjadi keperluan, bukan lagi pilihan. Organisasi perlu mengintegrasikan pemantauan sentimen digital ke dalam perancangan permintaan.
Data media sosial boleh menjadi penunjuk awal sebelum data jualan rasmi menunjukkan perubahan. Namun, tindak balas perlu disokong dengan analisis yang teliti agar tidak berlaku reaksi berlebihan terhadap isyarat yang tidak stabil.

Struktur rantaian bekalan juga perlu lebih tangkas. Penyebaran inventori di beberapa lokasi serantau boleh membantu mengurangkan risiko kekurangan stok di satu pasaran.
Kerjasama dengan rakan logistik yang fleksibel memberi ruang untuk penyesuaian pantas. Dalam masa yang sama, garis panduan krisis yang jelas perlu disediakan bagi memastikan tindak balas antara fungsi operasi, komunikasi dan undang-undang selaras.
Ketangkasan juga bergantung kepada manusia. Pasukan operasi perlu diberi kuasa membuat keputusan dengan cepat tanpa menunggu kelulusan berlapis. Koordinasi antara negara dalam rantau ini perlu diperkukuh supaya respons tidak bercanggah.
SEAblings memperlihatkan bahawa pengurusan operasi hari ini tidak lagi terpisah daripada dunia digital. Gangguan tidak semestinya bermula di kilang atau pelabuhan.
Ia boleh bermula di garis masa media sosial dan bergerak lebih pantas daripada sistem fizikal yang menyokongnya. Dalam dunia yang dipacu algoritma, rantaian bekalan tidak lagi bermula di kilang, ia bermula di skrin telefon pengguna.
NOOR ASLINDA ABU SEMAN ialah pensyarah kanan di Johor Business School.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan Malaysiakini.
