Saya Musa Bin Apat. Saya dilahirkan di tanah ini, tanah yang bernama Kampung Bering, wilayah Pasik, Gua Musang, Kelantan.
Kampung yang cantik, sunyi dan antara yang paling pedalaman. Di sinilah saya belajar mengenal bunyi sungai, mengenal arah angin dari pucuk daun, mengenal jejak rusa di tanah basah.
Dulu, hutan di sebelah kampung kami ini adalah perisai kami. Ia pasar raya kami. Ia sekolah kehidupan kami. Ia identiti kami. Ia roh kami.
Inilah hutan yang mereka rizabkan sebagai Hutan Simpan Gunung Stong Selatan. Tetapi hari ini, hutan itu sedang dirobek tanpa belas.

Kalau dulu, pembalakan kebanyakannya terpilih sahaja. Mereka tuai pokok yang matang dan tanam semula dengan pokok asal. Tetapi sejak 10 tahun lepas, mereka semakin gila tanpa ada rasa belas kasihan.
Pembalakan tebang habis semakin banyak diluluskan di kawasan hulu sungai, di pedalaman, di hutan tadahan air kami, malah betul-betul di atas bukit sebelah kampung kami. Bunyi mesin menggantikan bunyi cengkerik. Debu menggantikan kabus pagi.
Hutan yang dahulu memeluk kampung ini kini terkoyak satu demi satu, atas nama ladang rakyat, atas nama kelapa sawit, durian musang king, dan kayu klon getah. Pokok-pokok tumbang, akar tercabut, tanah terdedah.
Apabila pokok hilang, tempat tinggal binatang liar sudah turut hilang. Apabila habitat musnah, binatang seperti gajah, harimau, beruang turun ke kampung.

Bila tiba musim gajah ke kampung, hampir setiap malam kami berjaga. Dalam gelap, dengan lampu suluh dan hati yang berdebar, kami menghalau gajah dari kebun.
Tanaman musnah dalam satu malam. Kami tanam ubi kayu, pisang bahkan sampai ke padi, semuanya musnah dimakan gajah. Ibarat tanam penat lelah, bagi makan pada binatang.
Anak-anak pula sering terjaga dalam tangisan. Kami tidak lagi merasa selamat di tanah sendiri.
Tahun 2023 kemuncak tragedi kami, ia menjadi luka yang tidak akan sembuh.

Tiga nyawa diragut harimau, termasuk seorang pemuda Orang Asli dari kampung Pos Pasik, bersebelahan kawasan kami.
Habitat harimau belang musnah akibat pembalakan, ditambah pula penyakit African Swine Flu yang memusnahkan populasi babi hutan, rantaian makanan terganggu. Harimau kelaparan. Manusia menjadi mangsa.
Apabila hutan hilang, kami bukan sekadar kehilangan pokok. Kami kehilangan tumbuhan ubatan nenek moyang. Kami kehilangan daun dan rotan untuk tarian adat. Kami kehilangan sumber protein dari hutan. Kami kehilangan sayur-sayuran liar, buah-buahan hutan, dan cerita-cerita yang diwariskan dari generasi ke generasi.
Bahkan kami terpaksa minum air keruh dan kehidupan tidak lagi selamat dan tenteram walaupun YB Nenggiri cakap kampung kami paling cantik dan menenangkan.
Warisan hidup kami sedang lenyap. Pokok demi pokok. Malam demi malam.
Kampung Bering yang dahulu tenang kini hidup dalam bayang-bayang ketakutan. Kami tidak meminta lebih, hanya mahu hutan itu terus berdiri, supaya kami juga boleh terus berdiri.
Kerana jika hutan mati, sebahagian daripada kami juga akan mati bersamanya.
MUSA BIN APAT penduduk asal Orang Asli Kampung Bering.
Artikel ini pandangan penulis terbit pertama kali di media sosial Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan - JKOAK dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
