Paling Popular
Terkini

SURAT | Sebagai seorang doktor dan juga rakyat Malaysia yang percaya kepada keharmonian negara ini, saya melihat satu perkara yang semakin membimbangkan kebelakangan ini.

Ia bukan virus biologi, tetapi virus sosial – virus kebencian dan provokasi agama.

Kebelakangan ini kita melihat beberapa individu yang menggelarkan diri mereka sebagai pendakwah atau penceramah agama menggunakan isu sensitif untuk meraih perhatian dan populariti.

Ada yang secara terbuka mempersendakan perkara suci, kemudian berpura-pura tidak memahami makna simbol tersebut selepas mencetuskan kontroversi.

Perbuatan seperti ini jelas bukan satu kebetulan, tetapi kelihatan seperti usaha untuk menimbulkan kemarahan dan mengapi-apikan sentimen agama.

Lebih mengecewakan apabila ada pihak yang secara berseloroh atau bergurau kononnya mahu menjadi ahli parti politik tertentu, termasuk menyebut nama parti seperti PKR, seolah-olah ingin mengaitkan parti tersebut dengan provokasi yang sedang berlaku.

Sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri Selangor, saya melihat perkara ini sebagai satu cubaan yang tidak bertanggungjawab untuk mengelirukan masyarakat dan mencemarkan nama parti.

PKR adalah sebuah parti yang berpegang kepada prinsip keadilan, keharmonian dan saling menghormati antara agama serta kaum di Malaysia.

Oleh itu, sebarang cubaan untuk menggunakan nama parti secara sinis atau sebagai alat provokasi adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Dalam masa yang sama, saya ingin menegaskan bahawa tidak kira siapa pun dan tidak kira agama apa sekalipun, mana-mana individu yang merendahkan atau menghina agama lain harus diambil tindakan segera.

Sama ada melibatkan Islam, Hindu, Buddha, Kristian atau mana-mana agama sekalipun, perbuatan menyentuh sensitiviti agama demi populariti atau kepentingan tertentu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dalam masyarakat kita.

Tiada satu agama pun di dunia ini yang mengajar penganutnya untuk menghina atau merendahkan agama orang lain.

Semua agama mengajar nilai hormat, kesederhanaan dan hidup bersama secara aman.

Oleh itu, penggunaan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan penganut agama lain atau sengaja mengungkit isu 3R (Bangsa, Agama dan Raja) demi meraih perhatian perlu dihentikan.

Sebagai doktor, saya selalu percaya bahawa pencegahan lebih baik daripada rawatan.

Jika virus Covid-19 boleh merebak dengan pantas, virus kebencian juga mempunyai sifat yang sama.

Sekali ia menular dalam masyarakat, ia boleh merosakkan kepercayaan, memecahkan perpaduan dan menimbulkan ketegangan antara komuniti yang selama ini hidup aman bersama.

Malaysia adalah negara yang unik. Kita mempunyai pelbagai agama, bangsa dan budaya yang telah hidup bersama sejak sekian lama.

Oleh itu, mana-mana pihak yang cuba bermain dengan api sentimen agama demi populariti atau kepentingan peribadi sebenarnya sedang merosakkan asas keharmonian negara kita.

Saya juga menyeru agar pihak parti mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba mengaitkan parti dengan provokasi seperti ini.

Dalam masa yang sama, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang cuba membangkitkan isu 3R secara tidak bertanggungjawab sebelum “virus” ini merebak lebih luas dalam masyarakat.

Pada masa yang sama, saya juga ingin menyeru kepada masyarakat supaya tidak menyebarkan nama individu tersebut atau berkongsi video mereka.

Hakikatnya, sebahagian daripada tindakan provokasi seperti ini dilakukan semata-mata untuk mendapatkan perhatian dan populariti di media sosial, termasuk mengejar tontonan dan #fyp.

Tanpa kita sedari, apabila kita berkongsi semula video mereka, kita sebenarnya membantu menaikkan populariti mereka.

Cara paling berkesan untuk menghentikan “virus” seperti ini ialah dengan mengabaikannya.

Tekan “not interested”, jangan kongsi, jangan viralkan.

Dalam erti kata lain, kita sendiri yang boleh “membunuh” virus ini secara tidak langsung dengan tidak memberi mereka perhatian.

Akhirnya, sebagai doktor saya percaya bahawa ubat terbaik untuk masyarakat ialah kewarasan, tanggungjawab dan rasa hormat antara satu sama lain.

Malaysia hanya akan kekal kuat jika kita memilih perpaduan, bukan provokasi.


DR SATHIA PRAKASH NADARAJAN adalah Pengarah Pilihan Raya PKR negeri Selangor

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS