SURAT | Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD) mengambil maklum mengenai cadangan pelaksanaan bekerja dari rumah (WFH) yang sedang dipertimbangkan oleh pihak kerajaan dan dijangka diputuskan dalam masa terdekat.
Pada masa yang sama, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, memaklumkan bahawa bekalan petrol negara adalah mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Mei.
Namun begitu, ketidaktentuan geopolitik global termasuk konflik di Asia Barat yang melibatkan Iran terus memberi tekanan kepada rantaian bekalan tenaga dunia serta menyebabkan harga minyak global berada dalam keadaan tidak menentu.
Perkembangan ini memberi kesan langsung kepada kos operasi rakyat yang bekerja dalam sektor pengangkutan dan ekonomi gig, khususnya pemandu e-hailing, teksi dan perkhidmatan limo yang bergantung sepenuhnya kepada aktiviti perjalanan harian sebagai sumber pendapatan.
Dalam situasi semasa, sebahagian besar pemandu e-hailing tidak menerima manfaat subsidi di bawah program Budi Madani (Budi95) walaupun terdapat pemandu yang memenuhi syarat kelayakan.
Malah dengan perubahan mekanisme dan had penggunaan sedia ada seperti kuota 600 - 800 liter, sebahagian pemandu berdepan cabaran untuk terus memenuhi kriteria yang ditetapkan yang perlu memandu sehingga 2,000km hingga 5,000km.
Keadaan ini bermakna mereka terpaksa membeli petrol RON95 pada harga pasaran sebenar.
Berdasarkan anggaran semasa, harga petrol adalah RM3.27 seliter, sekali gus meningkatkan kos operasi harian pemandu yang sudah pun menanggung pelbagai komitmen seperti bayaran ansuran kenderaan, insurans dan penyelenggaraan, komisen platform e-hailing, serta kos tol dan parkir.
Keadaan berbeza dari PKP
Keadaan ini bukan sahaja memberi tekanan kepada pemandu e-hailing, malah turut menjejaskan pemandu teksi dan limo yang bergantung kepada perjalanan bandar serta perjalanan ke lapangan terbang sebagai sumber pendapatan utama.
Pada masa yang sama, sekiranya pelaksanaan WFH dilakukan secara meluas melibatkan sekolah, penjawat awam dan sebahagian sektor swasta, permintaan perjalanan harian dijangka berkurangan dengan ketara.
Realitinya, sebahagian besar permintaan bagi sektor pengangkutan datang daripada kegiatan harian seperti perjalanan ke tempat kerja, penghantaran anak ke sekolah, urusan mesyuarat dan perniagaan, serta perjalanan ke pusat bandar dan lapangan terbang.
Apabila aktiviti ini berkurangan, jumlah tempahan perjalanan bagi e-hailing, teksi dan limo juga akan menurun secara drastik.
Situasi ini akan mewujudkan tekanan kepada pendapatan pemandu yang menurun apabila permintaan perjalanan berkurangan tetapi kos operasi, khususnya petrol, dan lain-lain terus meningkat.

Berbeza dengan tempoh pandemik dahulu seperti semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), ketika itu terdapat pelbagai bentuk bantuan khas kerajaan untuk menyokong rakyat dan pekerja gig.
Pada masa ini, sebahagian besar pemandu e-hailing, teksi dan limo bergantung sepenuhnya kepada pendapatan harian tanpa jaringan perlindungan sosial yang mencukupi.
Selain memberi kesan kepada pemandu dalam sektor pengangkutan, pelaksanaan WFH secara menyeluruh juga berpotensi memberi kesan rantaian kepada pelbagai sektor ekonomi bandar yang bergantung kepada pergerakan pekerja dan orang awam.
Ini termasuk perniagaan kecil di kawasan pejabat, restoran dan gerai makanan, kedai serbaneka serta perkhidmatan pengangkutan tambahan.
Sumber rezeki ribuan keluarga
Apabila kehadiran fizikal di pusat bandar berkurangan, ekosistem ekonomi harian yang bergantung kepada aliran pekerja dan pelanggan turut terjejas.
Sehubungan itu, TPAD berpendapat pelaksanaan WFH perlu dilakukan secara lebih bersasar dan seimbang, bukan secara menyeluruh seperti semasa tempoh krisis pandemik.
Antara pendekatan yang boleh dipertimbangkan termasuk pelaksanaan WFH bagi sektor atau lokasi tertentu yang benar-benar memerlukan, memberi fleksibiliti kepada sektor swasta untuk menentukan kaedah kerja berdasarkan keperluan operasi, serta menggalakkan model kerja hibrid yang mengekalkan sebahagian kehadiran fizikal di pejabat.
Bagi sektor kerajaan pula, kehadiran fizikal di pejabat masih penting bagi memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta mengelakkan kelewatan dalam urusan yang memerlukan tindakan segera.
TPAD berharap sebarang dasar yang diperkenalkan akan turut mengambil kira kesan rantaian kepada sektor ekonomi gig dan industri pengangkutan bandar, khususnya pemandu e-hailing, teksi dan limo yang menjadi sebahagian besar daripada sistem pengangkutan negara.
Ribuan keluarga di Malaysia bergantung kepada sektor ini sebagai sumber pendapatan utama atau tambahan.
Oleh itu, pendekatan dasar yang lebih menyeluruh dan seimbang amat penting bagi memastikan usaha menstabilkan operasi negara tanpa menjejaskan secara langsung kepada sumber rezeki golongan pekerja gig serta kelangsungan industri pengangkutan negara.
TPAD juga bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan dan agensi berkaitan bagi membincangkan langkah-langkah yang lebih praktikal dalam melindungi kesejahteraan pemandu serta memastikan ekosistem pengangkutan negara terus mampan.
NATHAN MATHIVANAN ialah Presiden Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
